Friday, 9 June 2017

Posted by Muhammad Adam bin Roslan |
Setiap kali tibanya bulan Ramadhan, ramai yang dinasihati dan diperingatkan untuk memperbanyak amal ibadat seperti membaca Al-Quran, membasahkan lidah dengan zikir-zikir, menunaikan solat sunat dan qiyamulail. Tidak kurang juga peringatan untuk membuat kebaikan kepada orang lain seperti bersedekah. Sebab itulah pada bulan Ramadhan kita akan dapat menyaksikan banyak pihak akan melaksanakan program kebajikan terutamanya menyediakan makanan dan minuman berbuka puasa secara percuma.

Pada bulan Ramadhan juga pernah terjadi peristiwa-peristiwa yang besar dan salah satunya ialah yang akan tiba tidak lama lagi iaitu peristiwa turunnya ayat pertama Al-Quran atau dikenali sebagai Hari Nuzul Al-Quran. Di Malaysia, kebanyakan negeri menjadikan hari Nuzul Al-Quran sebagai hari cuti am dan lazimnya ada pihak akan mengadakan majlis khatam Al-Quran bersempena dengan hari tersebut. Walaubagaimanapun, penulis mahu kita melihat peristiwa besar dari sudut yang berbeza untuk memperkaya cara fikir kita supaya masyarakat akan mempunyai lebih banyak pilihan untuk membuat kebaikan pada bulan yang  mulia ini.

Ayat pertama Al-Quran merupakan ayat daripada surah Al-‘Alaq, yang mana ayat ini mempunyai maksud yang sangat besar iaitu arahan untuk membaca. Kenapa membaca? Kenapa bukan solat dahulu? Kenapa bukan zikir dahulu? Kenapa bukan puasa dahulu? Sudah tentu ada sebab mengapa arahan membaca dipilih untuk dijadikan sebagai ayat pertama dalam sejarah penurunan Al-Quran. Penulis percaya bahawa arahan membaca itu merujuk kepada manusia untuk mencari ilmu pengetahuan dan arahan itu mempunyai keutamaan yang sangat besar untuk diamalkan oleh hamba Allah.

Membaca akan menambahkan ilmu pengetahuan kita supaya kita dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik. Bagi orang Muslim pula, membaca akan dapat memudahkan untuk melaksanakan ‘ibadah dengan lebih sempurna kerana jika kita kekurangan ilmu, maka amal ‘ibadah kita akan lebih terdedah kepada kecacatan, kekurangan dan ketidaksempurnaan. Selain itu, pada zaman yang penuh dengan tipu daya kini, membaca dapat mengelakkan kita daripada terus diperbodohkan oleh penguasa yang zalim, hartawan yang jahil dan orang yang sentiasa mengambil kesempatan ke atas kekurangan orang lain.

Membaca juga akan dapat menjadikan masyarakat menjadi lebih kompetitif dan dengan ilmu tersebut dapatlah disumbangkan ke arah kemajuan umat dan negara. Jika kita mahu memperkaya cara fikir dan memperluas pandangan kita terhadap dunia ini, membacalah salah satu jalannya. Kita amat digalakkan untuk mempelbagai pembacaan dan bahan bacaan kita. Bukan sekadar membaca buku-buku satu bidang keilmuan sahaja, bukan ditulis oleh penulis yang sama sahaja dan bukan juga punyai gaya penulisan yang sama sahaja. Dengan mempelbagai bahan bacaan, kita akan temui sesuatu yang baru dan menjadikan kita bersikap lebih terbuka selepas itu.


Banyak kan faedah membaca? Namun kurang orang yang berkempen untuk menyedarkan kita tentang kepentingan membaca pada bulan Ramadhan. Bulan Ramadhan merupakan bulan yang amat sesuai bagi mereka yang mahu mula mendidik diri mereka menjadi pembaca yang tegar sebagai tanda mengambil iktibar akan peristiwa Nuzul Al-Quran. Sesuailah jika kita jadikan hari Nuzul Al-Quran sebagai Hari Membaca Sedunia atau jadikan Ramadhan sebagai Bulan Membaca Sedunia.

Penulis boleh dihubungi melalui muhammadadamiium@gmail.com


0 comments: