Monday 21 January 2013

Posted by Muhammad Adam bin Roslan |
Assalamu'alaikum. Alhamdulillah beberapa hari lagi akan tibalah satu hari yang sangat istimewa. Hari yang pasti dinanti-nantikan buat mereka yang merindukan kekasih Allah yang bernama Muhammad. Walaupun baginda telah lama meninggalkan kita, namun sunnahnya menjadi pengubat rindu buat para Muslimin yang beriman.

Kini, tugas kita ialah bukan sahaja mengamalkan apa yang diajarkan oleh Rasulullah, tetapi kita perlu mengambil tanggungjawab untuk menyampaikan serta menyebarkan ajaran baginda kepada semua umat manusia. Al-Quran dan Sunnah perlu menjadi panduan hidup untuk semua umat Islam. Inilah yang dinamakan da'wah, atau ada juga menulis sebagai dakwah.

Firman Allah:

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar ; merekalah orang-orang yang beruntung.” (Q.S. Ali Imran [3]: 104)

Da'wah Islam. Siapa kata tugas ini mudah?
Adakah kita sudah menyempurnakan tugas da'wah dengan hanya mengepos status di 'Facebook' dengan kata-kata hikmah, dan mendapat ratusan 'like'?


Adakah kita hanya berpuas hati apabila melihat sambutan program kebajikan kita sangat menggalakkan?


Adakah sudah cukup dengan hanya memberi ceramah tanpa ada usaha untuk memahami realiti masyarakat?


Muslimin dan Muslimat,
Sesungguhnya tugas da'wah ini sangatlah berat dan tidak mudah seperti yang kita sangkakan.

"Barang siapa yang memilih jalan da'wah, seolah-olah dia telah memilih untuk meneguk racun di dunia dan minum madu di syurga."

Ayat di atas pernah diungkapkan oleh seorang sahabat saya semasa kami mengadakan usrah dahulu. Ayat ini cukup menggambarkan bahawa tugas da'wah ini sangat berat, namun barang siapa yang dapat memikulnya, maka selamatlah dia di akhirat kelak.

Bagi memastikan da'wah kita berkesan, haruslah kita mencontohi peribadi mulia Rasulullah s.a.w.

Antara sifat mulia Rasulullah yang mulia ialah sifat sabar. Sifat ini juga sukar untuk dicontohi oleh para pendakwah kerana cabaran-cabaran yang diterima pastinya besar dan sulit. Kadang-kadang kita sering dicemuh, dipandang enteng, mahupun difitnah. Namun begitu, kita tidak boleh menjadikan perkara itu sebagai alasan untuk mengalah dalam perjuangan ini. Sebaliknya, kita seharusnya mengingati bagaimana perjalanan seorang insan yang bernama Muhammad yang berusaha untuk menyebarkan syiar Islam. Nabi Muhammad ketika itu kurang mendapat sokongan, malah cabaran yang dikenakan kepada baginda jauh lebih besar daripada kita. Oleh itu, hendaklah kita sentiasa bersabar dalam menempuhi perjalanan da'wah ini.

Selain itu, Rasulullah menyampaikan ajaran Islam dengan penuh hikmah. Tidak menggunakan kata-kata kesat walaupun kesabaran baginda sering diuji dan kata-kata baginda juga sering tidak dibenarkan oleh kaum jahiliyah ketika itu. Baginda memegang satu prinsip bahawa kelembutan itu tidak akan pernah kepada kekerasan. Senyuman sentiasa terukir di wajah baginda. Akhirnya, lama-kelamaan mereka yang keras menentang baginda akhirnya menyerahkan diri mereka dan memeluk Islam.

Rasulullah sentiasa optimis dan berfikiran positif terhadap da'wah baginda. Baginda tetap yakin dengan jalan yang dipilih oleh baginda walaupun baginda telah ditawarkan dengan 3 perkara iaitu, harta, wanita, kuasa. Berbeza dengan hari ini apabila terdapat beberapa orang yang memilih jalan da'wah hanya untuk memenuhi kepentigan peribadi. Selain itu, ada juga pada mulanya bersemangat untuk memperjuangkan Islam, namun akhirnya meninggalkan jalan tersebut setelah menerima pekerjaan yang baik, wanita yang cantik untuk menjadi pasangan hidupnya atau menerima kekayaan yang banyak.

Akhir sekali, andai 'sibuk' sentiasa menjadi alasan, bayangkanlah betapa lebih sibuknya seorang Nabi yang tugasnya menjadi seorang ketua tentera, ketua negara, suami kepada isteri-isteri dan lain-lain lagi. Namun, baginda tetap menyampai ajaran Islam sehingga akhir hayat baginda. Betapa jauhnya perbezaan sibuk kita dengan sibuk baginda.

Ini hanyalah beberapa peribadi mulia yang mampu ditulis pada hari ini. Semoga menjadi ikutan sepanjang hari. Selamat berjuang dan mencontohi peribadi seorang Nabi. Selamat hari lahir ya Rasulullah..

Nota: Doakan artikel ini diterima untuk diterbitkan dalam Majalah 'Survival' (PKPIM)




Sebarang pertanyaan/pendapat boleh diajukan di:
1) Komen di bawah
2) Facebook- Muhammad Adam(Perintis Muda)/ boyz_3bang@yahoo.com
3) Twitter- @AdamRoslan1/ boyz_3bang@yahoo.com



1 comments:

SITOT said...

Siddiq Tabligh Amanah Fatonah ! :)