Tuesday, 2 June 2015

Posted by Muhammad Adam bin Roslan |

Tujuan artikel ini ditulis adalah untuk menggalakkan para pemuda dan pemudi untuk membaca buku sebagai satu usaha bagi membina daya intelek mereka. Namun begitu, tidak semua buku yang mempunyai nilai ilmu yang tinggi kerana ada antaranya terlalu mementingkan nilai komersial. Justeru, sebagai pembaca perlulah pandai menilai manakah buku yang bagus untuk dibaca.

Dalam penulisan ini, penulis akan memfokuskan ke arah akar permasalahan keruntuhan daya intelek dalam masyarakat iaitu kurang kesedaran untuk membaca. Jika minat untuk membaca pun kurang, jadi bagaimana kita nak menggalakkan umat untuk pandai memilih bacaan mereka? Maka dalam kesempatan dan ruang ini, penulis akan kongsikan sedikit pengalaman tentang bagaimana boleh terjebak dengan 'penyakit cinta' buku.

Sejujurnya dan seingat penulis, minat itu mula datang apabila penulis menyertai Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia(PKPIM), yang merupakan sebuah badan bukan kerajaan(NGO) Islam di Malaysia. Menariknya, ilmu merupakan teras perjuangan PKPIM dalam menyelesaikan masalah umat dan oleh sebab itu ahli-ahli PKPIM digesa untuk menuntut ilmu sebanyak dan sebaik mungkin sebagai keperluan asas diri sebelum turun ke kancah medan perjuangan.

Antara sebab utama yang membuatkan penulis begitu tegar untuk membaca ialah kerana inilah salah satu cara untuk penulis tingkatkan ilmu pengetahuan diri dan membentuk cara fikir yang lebih baik. Selain itu, galakan-galakan daripada senior-senior dan contoh yang telah ditunjukkan oleh mereka juga telah menarik minat penulis untuk membaca. Ilmu yang datang daripada hasil bacaan boleh digunakan untuk cari jalan penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi umat.

Setelah membaca secara berterusan, lama-kelamaan penulis semakin biasa untuk membaca, malah bertambah minat sehinggakan penulis agak kerap pergi ke kedai buku untuk melihat penerbitan buku-buku terbaru dan kadang kala mencari ketenangan di sana. Menariknya, jika ada buku yang menarik perhatian penulis, penulis akan berasa geram sekiranya waktu itu tidak ada duit. Itulah semangat bagi seorang pecinta buku. Selain kedai buku, penulis kerap juga meminjam buku dari perpustakaan.

Penulis kini sedang konsisten untuk membaca sekurang-kurangnya dua buku seminggu. Pencapaian ini masih rendah jika nak dibandingkan dengan orang lain terutamanya tokoh-tokoh intelektual. Bukan itu sahaja, penulis semakin dapat menyesuaikan diri untuk membaca buku yang tinggi nilai ilmunya dan agak sukar untuk difahami isinya. Pada permulaannya memang akan mengantuk ketika membaca buku-buku berkenaan dan pernah juga rasa tertekan untuk meneruskan bacaan, tetapi penulis jadikan itu sebagai latihan pembinaan akal.

Itulah sedikit sebanyak yang dapat dikongsikan pada ruang kali ini. Semoga lebih ramai anak muda yang membaca penulisan ini dapat belajar sesuatu daripasa pengalaman penulis yang masih tidak luas agar lebih berminat untuk membaca.


Penulis boleh dihubungi melalui emel: muhammadadamiium@gmail.com


1 comments: