Thursday, 19 November 2015

Posted by Muhammad Adam bin Roslan |
Terdapat banyak pertubuhan bukan kerajaan atau juga dikenali sebagai non-governmental organization (NGO) didaftarkan di negara ini. Jika disemak melalui laman web Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, terdapat ribuan pertubuhan bukan kerajaan sudah didaftarkan pada 2015. Pertubuhan-pertubuhan yang ditubuhkan mempunyai matlamat dan kepakaran yang berbeza. Ada yang berfokus terhadap dakwah, kebajikan golongan tertentu seperti warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan sebagainya. Perbezaan beginilah yang dapat dimanfaatkan atas nama tujuan membangunkan masyarakat.

Peranan NGO
Apakah peranan pertubuhan-tubuhan NGO? Anda boleh merujuk terhadap beberapa penulisan yang telah dihasilkan sebelum ini melalui Internet. Secara umumnya, mungkin ada yang berpendapat bahawa NGO menjadi pendukung atau pembantu terhadap usaha kerajaan untuk membangunkan negara. Penulis bersetuju dengan pendapat ini dengan tambahan bahawa tidak semestinya membantu untuk membantu kerajaan, kita perlu menyokong kerajaan dalam semua hal. Pada masa yang sama, tidak juga disarankan untuk NGO menyebelahi pihak kiri untuk menentang kerajaan dalam semua hal. Hal itu hanyalah menunjukkan bahawa NGO tersebut bersifat partisan iaitu mempunyai kecenderungan untuk berada bersama satu pihak sahaja.

Seperti yang kita maklumm bahawa negara kita mengamalkan sistem politik demokrasi berparlimen yang mana ada dua pihak utama iaitu pihak kerajaan dan pihak pembangkang. Oleh itu, amat baik kiranya NGO boleh menjadi pihak ketiga sebagai badan yang bebas daripada kecenderungan terhadap mana-mana parti politik. NGO sebenarnya perlu memainkan peranan untuk menyemak semula segala keputusan yang ditentukan oleh pihak kerajaan serta segala kritikan yang dilontarkan oleh pihak pembangkang terhadap pihak kerajaan. Proses ini disebutkan sebagai ‘check and balance’. Ini dapat membantu rakyat untuk menilai segala keputusan kerajaan dengan lebih baik. Selain itu, segala kritikan oleh pihak pembangkang juga mampu dilihat berasas atau tidak jika NGO boleh membuat analisis dengan baik.

Selain daripada itu, dengan tidak bersikap partisan, dapatlah segala bentuk program, perkhidmatan dan bantuan dapat dilaksanakan dan disampaikan kepada semua rakyat tanpa memilih bulu. Amatlah malang jika sesuatu NGO berkhidmat hanya untuk kumpulan-kumpulan tertentu iaitu kumpulan manusia yang menyokong parti-parti politik tertentu.

NGO Penting Dalam Sektor Ketiga
Di negara kita, ada tiga sektor terpenting yang memainkan peranan yang cukup besar dalam proses pembangunan negara. Ketiga-tiga sektor tersebut ialah kerajaan, perniagaan dan masyarakat sivil. Perkara ini penulis petik daripada buku Politik Baru karya Dato’ Saifuddin Abdullah.

Kedudukan NGO berada dalam sektor masyarakat sivil dan NGO mempunyai tanggungjawab yang besar dalam membantu kerajaan bagi membangunkan masyarakat sivil melalui pelbagai bidang seperti sosial, ekonomi, pendidikan, perubatan dan sebagainya. NGO boleh dijadikan sebagai salah satu platform buat masyarakat yang berminat untuk bersama dalam proses pembangunan negara tanpa terlalu bergantung harap terhadap pihak kerajaan.

Akhir kalam, penulis ingin menegaskan bahawa pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan di negara kita harus bebas daripada kecenderungan untuk berpihak pada mana-mana pihak. Sebaliknya, semua NGO perlu menumpukan perhatian terhadap tujuan sebenar mereka dan memastikan keberadaan mereka memberikan impak yang baik terhadap pembangunan masyarakat. Penulis juga ingin mengambil peluang ini untuk menggalakkan semua lapisan masyarakat terutamanya golongan muda untuk menyertai badan bukan kerajaan dan menjadi rakan pembangunan negara. Semoga dengan penyertaan yang menggalakkan akan memudahkan lagi proses kemajuan negara.

Boleh hubungi penulis melalui muhammadadamiium@gmail.com

1 comments:

mohd Syarizwan said...

Nice sharing brother adam.. Agree with u..