Jika
kita ingin melihat sesebuah ketamadunan manusia yang cemerlang, kita mestilah
berusaha untuk menanamkan sifat cintakan ilmu pengetahuan ke dalam diri setiap
anggota masyarakat tersebut. Budaya ilmu merupakan satu budaya yang penting
yang mana dapat memajukan umat Islam dalam apa jua bidang. Tugas untuk
membudayakan ilmu bukanlah suatu tugas yang mudah tambah-tambah lagi keadaan
masyarakat moden pada hari ini khususnya umat Islam yang semakin jauh daripada
ilmu pengetahuan. Sebaliknya, hiburan yang menjadi pengganti ilmupengetahuan.
Lihatlah apa yang telah berlaku pada rata-rata kalangan mahasiswa di universiti kita. Anda boleh bertanya sendiri para pelajar di universiti berapa jumlah buku selain buku teks yang dibaca dalam masa sebulan dan berapa kali mereka hadir di majlis ilmu dalam masa sebulan. Lihat apa yang terjadi pada perpustakaan kita. Perpustakaan yang sepatutnya menjadi rujukan ilmu pengetahuan telah hilang fungsinya apabila hanya dikunjungi oleh pelajar apabila ingin mencari buku untuk dijadikan nota kaki bagi tugasan yang diberikan oleh pensyarah.
Lihatlah apa yang telah berlaku pada rata-rata kalangan mahasiswa di universiti kita. Anda boleh bertanya sendiri para pelajar di universiti berapa jumlah buku selain buku teks yang dibaca dalam masa sebulan dan berapa kali mereka hadir di majlis ilmu dalam masa sebulan. Lihat apa yang terjadi pada perpustakaan kita. Perpustakaan yang sepatutnya menjadi rujukan ilmu pengetahuan telah hilang fungsinya apabila hanya dikunjungi oleh pelajar apabila ingin mencari buku untuk dijadikan nota kaki bagi tugasan yang diberikan oleh pensyarah.
Ada
juga waktu apabila suasana di perpustakaan bertukar menjadi suasana persis
pasar kerana dipenuhi oleh pelajar pada musim ulang kaji dan peperiksaan.
Makanya penulisan kali ini bertujuan untuk menyenaraikan amalan-amalan tertentu
sebagai panduan bagi setiap insan yang mahu mengamalkan cara hidup yang mecintai
ilmu buat dirinya dan juga menyebarkan panduan ini kepada orang lain.
Membaca
Amalan membaca merupakan satu
aktiviti yang sangat penting untuk meningkatkan ilmu pengetahuan kita. Hari
ini, terlalu banyak buku yang telah dihasilkan oleh para ilmuwan yang hebat.
Mereka meninggalkan khazanah yang cukup bernilai dan tinggal kita sahaja untuk
mengautnya. Pada masa yang sama juga, lambakan buku di pasaran pasti akan
membuatkan kita rambang mata dan juga keliru dalam membuat pemilihan dan
penilaian sebelum membuat keputusan untuk membelinya.
Nasihat
saya terbahagi pada dua. Pertama, bagi golongan yang baru berjinak-jinak untuk
membaca, belilah buku yang ringan kandungannya, santai cara penyampaiannya dan
mudah difahami. Kedua, setelah membiasakan diri dengan membaca, bolehlah
berganjak untuk memiliki buku yang lebih sukar dan baik jika buku itu rapat
dengan bidang yang kita minati dan ceburi supaya dapat mengukuhkan lagi
kefahaman kita dalam bidang tersebut. Hal ini disebabkan pengajaran di kelas
amat tidak cukup untuk melengkapi diri kita untuk menjadi seorang ilmuwan.
Bukan
mudah untuk konsisten dalam pembacaan. Ada masa kita akan rasa malas. Ada masa
kita terlalu penat akibat sibuk dengan aktiviti-aktiviti lain. Justeru saya
ingin mencadangkan supaya kalian membawa buku ke mana-mana. Kita boleh baca
semasa menunggu pensyarah masuk ke dalam kelas, semasa menunggu bas tiba,
semasa berada di dalam LRT, semasa menunggu waktu azan tiba dan sebagainya.
Betapa banyaknya sebenarnya masa sengang kita yang boleh dimanfaatkan untuk
membaca!
Amalan
membaca boleh dilakukan setiap insan tak kira apa latar belakangnya. Bagi yang
tidak berkemampuan untuk membeli buku, boleh juga berkunjung ke perpustakaan
untuk mencari bahan ilmiah. Tentu sekali pihak perpustakaan sentiasa
mengalu-alukan kehadiran anda.
Mendengar
Mendengar
juga merupakan salah satu jalan menuju ilmu pengetahuan. Saya percaya orang
yang banyak mendengar boleh menjadi seorang bijaksana dan dihormati oleh orang
lain. Kita perlu hadir di forum-forum dan wacana-wacana yang kritikal yang
diadakan dan fokus terhadap apa yang disampaikan. Ambillah nota ketika
mendengar agar dapat dikongsikan dengan orang lain. Di samping itu, ada juga
buku-buku yang sukar untuk difahami setelah kita membacanya. Maka amat
digalakkan untuk kita hadir di majlis peluncuran atau pembentangan buku yang
disampaikan oleh penulisnya untuk memudahkan kefahaman kita.
Menulis
Masyarakat
perlu untuk dididik menulis keran menulis merupakan antara cara untuk kita
sebar luaskan dakwah dan ilmu kepada orang lain. Menulis dapat mencabar dan menguji
kefahaman kita terhadap ilmu yang telah kita belajar. Penulisan merupakan satu
terjemahan dari apa yang kita faham, fikir dan juga pengalaman kita.
Kita
boleh bermula dengan usaha yang kecil iaitu dengan kongsikan nota dan apa yang
kita dapat dari majlis-majlis keilmuan yang telah kita hadir. Kita juga boleh
kongsikan apa yang kita baca serta pengalaman kita, idea kita serta pendapat
kita melalui media sosial seperti Facebook dan Twitter. Selepas itu, kita boleh
berganjak ke hadapan dengan menulis artikel mengenai topik yang kita rasa
penting untuk dibaca oleh orang ramai demi kebaikan umat. Selepas artikel,
bolehlah kita mencabar diri kita untuk menghasilkan buku yang pertama.
Namun,
apa yang penting ialah penulisan itu hendaklah diusahan untuk mendapatkan
perhatian para pembaca supaya setiap komentar yang diutarakan dapat
dimanfaatkan untuk membaiki kualiti penulisan pada masa akan datang. Janganlah
kita terus berpatah hati daripada terus menulis dan tahanlah sedikit untuk
terima setiap kritikan terhadap penulisan kita.
Bersuara
Satu
lagi cara untuk kita kongsikan ilmu pengetahuan di dada dan juga pendapat ialah
dengan bersuara. Apabila kita hadir dalam perbincangan dan majlis-majlis
keilmuan, kita hendaklah menyuarakan pandangan (jika ada) dan bukan hanya
menjadi pendengar sahaja. Paling tidakpun, suarakan persoalan yang terbuku
dalam diri supaya dapat menjelaskan apa yang kita kurang faham. Inilah juga
salah satu cara untuk kita kurangkan rasa malu dan meningkatkan tahap keyakiran
diri kita. Pada masa yang sama, jangan kita keliru dengan amalan bersuara ini
kerana tidak semestinya ita perlu ke hadapan untuk menjadi panel atau pembicara
di hadapan orang ramai. Namun, sekecil-kecil peranan dan jawatan yang kita
miliki, pasti ada ruang untuk bersuara.
Di
samping itu, kita perlu menjaga adab-adab dalam menyuarakan pendapat dan
pandangan kita supaya dapat mengelakkan berlakunya salah faham. Pertama,
penggunaan bahasa hendaklah sopan supaya tidak ada yang terluka perasaanya dan
juga tidak menimbulkan rasa tidak puas hati. Pentingnya peranan bahasa kerana
dapat memastikan perbincangan dijalankan dengan aman. Rugilah sekiranya
perbincangan itu tidak dapat diteruskan akibat sikap kita yang tidak mahu
mengendahkan penggunaan bahasa yang tepat.
Kedua,
sekiranya penyampai sedang berucap, jangan kita gelojoh untuk mencelah.
Hendaklah kita dengar secara keseluruhan terlebih dahulu sebelum pendapat yang
kita lontarkan bersandarkan kefahaman yang konklusif, bukan sekadar sangkaan
semata-mata. Akhir sekali, sekiranya terdapat perbezaan pendapat, balaslah
dengan cara yang baik sekiranya kita tak setuju atau lebih baik berdiam sahaja
jika kita tahu keadaan akan menjadi semakin tegang.
Mengembara
Sesungguhnya
bumi ini luas untuk diterokai. Betapa banyak kebaikan yang telah Allah ciptakan
di dunia ini untuk kita. Maka, rugilah kita jika masih selesa di tempat yang
sama dan berkawan dengan kelompok yang sama. Mengembaralah untuk luaskan
jaringan dengan kenalan-kenalan yang baru. Perhatikan keadaan masyarakat yang
dengan lebih rapat. Mengembaralah untuk membumikan ilmu kita yang tinggi
melangit dan meluaskan lagi pandangan kita terhadap alam. Amat beruntung jika
kita rajin untuk berjalan-jalan untuk mencari hikmah di tengah perjalanan.
Sudah
tentu pengembaraan dapat dilaksanakan oleh mereka yang berkemampuan. Oleh itu,
saya sarankan agar kita bermula dengan kembara jarak dekat. Tidak kisah dekat
manapun asalkan kita keluar dari tempat yang sama. Jangan akhirnya kita menjadi
seperti katak di bawah tempurung yang mana tidak akan mengembangkan pemikiran
kita.
Akhir
tinta, saya berharap agar senarai amalan ini dapat memberi manfaat kepada
pembaca. Panduan ini bukan wajib untuk diikuti, tetapi sekadar nasihat saya
yang melihat keadaan masyarakat pada hari ini semakin jauh daripada jalan
keilmuan. Ini hanyalah usaha yang kecil untuk mengejar cita-cita melihat
masyarakat yang mecintai ilmu. Semoga impian ini tercapai.
Muhammad Adam bin Roslan, Mahasiswa Kuliah Ekonomi dan Sains Pengurusan UIAM Gombak |
1 comments:
Pelbagaikan amalan membaca. Dunia IT satu sumber ilmu yang meluas. Rugilah jika kita tidak memanfaatkan peluang untuk timba ilmu. Selain pengalaman yang menjadi sumber ilmu kita perlu juga menerokai ilmu dengan pelbagai medium. Kehidupan lebih mewarnai dengan kepelbagaian
Post a Comment