Friday 8 April 2016

Posted by Muhammad Adam bin Roslan |

Jika kita ingin melihat sesebuah ketamadunan manusia yang cemerlang, kita mestilah berusaha untuk menanamkan sifat cintakan ilmu pengetahuan ke dalam diri setiap anggota masyarakat tersebut. Budaya ilmu merupakan satu budaya yang penting yang mana dapat memajukan umat Islam dalam apa jua bidang. Tugas untuk membudayakan ilmu bukanlah suatu tugas yang mudah tambah-tambah lagi keadaan masyarakat moden pada hari ini khususnya umat Islam yang semakin jauh daripada ilmu pengetahuan. Sebaliknya, hiburan yang menjadi pengganti ilmupengetahuan.

Lihatlah apa yang telah berlaku pada rata-rata kalangan mahasiswa di universiti kita. Anda boleh bertanya sendiri para pelajar di universiti berapa jumlah buku selain buku teks yang dibaca dalam masa sebulan dan berapa kali mereka hadir di majlis ilmu dalam masa sebulan. Lihat apa yang terjadi pada perpustakaan kita. Perpustakaan yang sepatutnya menjadi rujukan ilmu pengetahuan telah hilang fungsinya apabila hanya dikunjungi oleh pelajar apabila ingin mencari buku untuk dijadikan nota kaki bagi tugasan yang diberikan oleh pensyarah.

Ada juga waktu apabila suasana di perpustakaan bertukar menjadi suasana persis pasar kerana dipenuhi oleh pelajar pada musim ulang kaji dan peperiksaan. Makanya penulisan kali ini bertujuan untuk menyenaraikan amalan-amalan tertentu sebagai panduan bagi setiap insan yang mahu mengamalkan cara hidup yang mecintai ilmu buat dirinya dan juga menyebarkan panduan ini kepada orang lain.

Membaca
Amalan membaca merupakan satu aktiviti yang sangat penting untuk meningkatkan ilmu pengetahuan kita. Hari ini, terlalu banyak buku yang telah dihasilkan oleh para ilmuwan yang hebat. Mereka meninggalkan khazanah yang cukup bernilai dan tinggal kita sahaja untuk mengautnya. Pada masa yang sama juga, lambakan buku di pasaran pasti akan membuatkan kita rambang mata dan juga keliru dalam membuat pemilihan dan penilaian sebelum membuat keputusan untuk membelinya.

Nasihat saya terbahagi pada dua. Pertama, bagi golongan yang baru berjinak-jinak untuk membaca, belilah buku yang ringan kandungannya, santai cara penyampaiannya dan mudah difahami. Kedua, setelah membiasakan diri dengan membaca, bolehlah berganjak untuk memiliki buku yang lebih sukar dan baik jika buku itu rapat dengan bidang yang kita minati dan ceburi supaya dapat mengukuhkan lagi kefahaman kita dalam bidang tersebut. Hal ini disebabkan pengajaran di kelas amat tidak cukup untuk melengkapi diri kita untuk menjadi seorang ilmuwan.

Bukan mudah untuk konsisten dalam pembacaan. Ada masa kita akan rasa malas. Ada masa kita terlalu penat akibat sibuk dengan aktiviti-aktiviti lain. Justeru saya ingin mencadangkan supaya kalian membawa buku ke mana-mana. Kita boleh baca semasa menunggu pensyarah masuk ke dalam kelas, semasa menunggu bas tiba, semasa berada di dalam LRT, semasa menunggu waktu azan tiba dan sebagainya. Betapa banyaknya sebenarnya masa sengang kita yang boleh dimanfaatkan untuk membaca!

Amalan membaca boleh dilakukan setiap insan tak kira apa latar belakangnya. Bagi yang tidak berkemampuan untuk membeli buku, boleh juga berkunjung ke perpustakaan untuk mencari bahan ilmiah. Tentu sekali pihak perpustakaan sentiasa mengalu-alukan kehadiran anda.

Mendengar
Mendengar juga merupakan salah satu jalan menuju ilmu pengetahuan. Saya percaya orang yang banyak mendengar boleh menjadi seorang bijaksana dan dihormati oleh orang lain. Kita perlu hadir di forum-forum dan wacana-wacana yang kritikal yang diadakan dan fokus terhadap apa yang disampaikan. Ambillah nota ketika mendengar agar dapat dikongsikan dengan orang lain. Di samping itu, ada juga buku-buku yang sukar untuk difahami setelah kita membacanya. Maka amat digalakkan untuk kita hadir di majlis peluncuran atau pembentangan buku yang disampaikan oleh penulisnya untuk memudahkan kefahaman kita.

Menulis
Masyarakat perlu untuk dididik menulis keran menulis merupakan antara cara untuk kita sebar luaskan dakwah dan ilmu kepada orang lain. Menulis dapat mencabar dan menguji kefahaman kita terhadap ilmu yang telah kita belajar. Penulisan merupakan satu terjemahan dari apa yang kita faham, fikir dan juga pengalaman kita.

Kita boleh bermula dengan usaha yang kecil iaitu dengan kongsikan nota dan apa yang kita dapat dari majlis-majlis keilmuan yang telah kita hadir. Kita juga boleh kongsikan apa yang kita baca serta pengalaman kita, idea kita serta pendapat kita melalui media sosial seperti Facebook dan Twitter. Selepas itu, kita boleh berganjak ke hadapan dengan menulis artikel mengenai topik yang kita rasa penting untuk dibaca oleh orang ramai demi kebaikan umat. Selepas artikel, bolehlah kita mencabar diri kita untuk menghasilkan buku yang pertama.

Namun, apa yang penting ialah penulisan itu hendaklah diusahan untuk mendapatkan perhatian para pembaca supaya setiap komentar yang diutarakan dapat dimanfaatkan untuk membaiki kualiti penulisan pada masa akan datang. Janganlah kita terus berpatah hati daripada terus menulis dan tahanlah sedikit untuk terima setiap kritikan terhadap penulisan kita.

Bersuara
Satu lagi cara untuk kita kongsikan ilmu pengetahuan di dada dan juga pendapat ialah dengan bersuara. Apabila kita hadir dalam perbincangan dan majlis-majlis keilmuan, kita hendaklah menyuarakan pandangan (jika ada) dan bukan hanya menjadi pendengar sahaja. Paling tidakpun, suarakan persoalan yang terbuku dalam diri supaya dapat menjelaskan apa yang kita kurang faham. Inilah juga salah satu cara untuk kita kurangkan rasa malu dan meningkatkan tahap keyakiran diri kita. Pada masa yang sama, jangan kita keliru dengan amalan bersuara ini kerana tidak semestinya ita perlu ke hadapan untuk menjadi panel atau pembicara di hadapan orang ramai. Namun, sekecil-kecil peranan dan jawatan yang kita miliki, pasti ada ruang untuk bersuara.

Di samping itu, kita perlu menjaga adab-adab dalam menyuarakan pendapat dan pandangan kita supaya dapat mengelakkan berlakunya salah faham. Pertama, penggunaan bahasa hendaklah sopan supaya tidak ada yang terluka perasaanya dan juga tidak menimbulkan rasa tidak puas hati. Pentingnya peranan bahasa kerana dapat memastikan perbincangan dijalankan dengan aman. Rugilah sekiranya perbincangan itu tidak dapat diteruskan akibat sikap kita yang tidak mahu mengendahkan penggunaan bahasa yang tepat.

Kedua, sekiranya penyampai sedang berucap, jangan kita gelojoh untuk mencelah. Hendaklah kita dengar secara keseluruhan terlebih dahulu sebelum pendapat yang kita lontarkan bersandarkan kefahaman yang konklusif, bukan sekadar sangkaan semata-mata. Akhir sekali, sekiranya terdapat perbezaan pendapat, balaslah dengan cara yang baik sekiranya kita tak setuju atau lebih baik berdiam sahaja jika kita tahu keadaan akan menjadi semakin tegang.

Mengembara
Sesungguhnya bumi ini luas untuk diterokai. Betapa banyak kebaikan yang telah Allah ciptakan di dunia ini untuk kita. Maka, rugilah kita jika masih selesa di tempat yang sama dan berkawan dengan kelompok yang sama. Mengembaralah untuk luaskan jaringan dengan kenalan-kenalan yang baru. Perhatikan keadaan masyarakat yang dengan lebih rapat. Mengembaralah untuk membumikan ilmu kita yang tinggi melangit dan meluaskan lagi pandangan kita terhadap alam. Amat beruntung jika kita rajin untuk berjalan-jalan untuk mencari hikmah di tengah perjalanan.

Sudah tentu pengembaraan dapat dilaksanakan oleh mereka yang berkemampuan. Oleh itu, saya sarankan agar kita bermula dengan kembara jarak dekat. Tidak kisah dekat manapun asalkan kita keluar dari tempat yang sama. Jangan akhirnya kita menjadi seperti katak di bawah tempurung yang mana tidak akan mengembangkan pemikiran kita.

Akhir tinta, saya berharap agar senarai amalan ini dapat memberi manfaat kepada pembaca. Panduan ini bukan wajib untuk diikuti, tetapi sekadar nasihat saya yang melihat keadaan masyarakat pada hari ini semakin jauh daripada jalan keilmuan. Ini hanyalah usaha yang kecil untuk mengejar cita-cita melihat masyarakat yang mecintai ilmu. Semoga impian ini tercapai.


Muhammad Adam bin Roslan,
Mahasiswa Kuliah Ekonomi dan Sains Pengurusan UIAM Gombak 



1 comments:

Unknown said...

Pelbagaikan amalan membaca. Dunia IT satu sumber ilmu yang meluas. Rugilah jika kita tidak memanfaatkan peluang untuk timba ilmu. Selain pengalaman yang menjadi sumber ilmu kita perlu juga menerokai ilmu dengan pelbagai medium. Kehidupan lebih mewarnai dengan kepelbagaian