Dalam bajet 2017,
peruntukan terhadap universiti awam tempatan telah dikurangkan. Bagi mengetahui
tentang berkenaan secara terperinci, penulis sarankan para pembaca untuk
membaca teks ucapan bajet 2017 yang telah dibentangkan di Parlimen yang
terdapat di laman sesawang Kementerian Kewangan Malaysia. Pemotongan bajet
universiti seharusnya membuka mata dan hati semua pihak, terutamanya bekas
pelajar universiti untuk membantu semula universiti mereka.
Pendapat penulis, niat
pihak kerajaan yang mahukan universiti menjadi mandiri dalam mencari dana
haruslah disokong tetapi dengan syarat, pihak kerajaan harus memberikan kuasa
autonomi kepada pengurusan pihak universiti untuk membuat sebarang keputusan yang
melibatkan universiti itu sendiri. Namun, artikel ini ditulis bukan bertujuan
untuk bercerita panjang mengenai kuasa autonomi universiti. Untuk mengetahui
sebahagian pendapat mengenai hal autonomi universiti, penulis ingin
mencadangkan kepada pembaca untuk membaca artikel yang bertajuk “A Question of
Autonomy” yang ditulis oleh Professor Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak yang
mana telah diterbitkan oleh pihak IDEAS di laman sesawang mereka dan juga
akhbar the Sun Daily.
Sesungguhnya untuk
menjadi mandiri daripada terlalu bergantung terhadap dana pihak kerajaan
bukanlah sesuatu yang mudah. Apatah lagi jika pihak pentadbiran universiti yang
terdiri daripada pihak atasan hingga ke peringkat bawahan sudah terbiasa atau
selesa menjadi penerima bajet tahunan kerajaan. Minda mereka perlu ditancapkan
semula kerana perkara ini bukanlah sesuatu yang kecil, malah akan memberikan
kesan terhadap kualiti pendidikan dan juga kualiti graduan pada masa akan
datang.
Memang tidak dinafikan
bahawa ada universiti yang masih tidak bersedia akan perubahan ini. Maka,
penulis ingin mengajak kepada semua bekas pelajar universiti untuk membantu
universiti kita yang sememangnya juga mengharapkan bantuan kita. Universiti
merupakan antara tempat yang terbaik untuk kita melaburkan duit kita kerana
universiti merupakan tempat membangukan akal dan sahsiah generasi muda yang
akan memimpin negara pada masa akan datang. Selain itu, pelaburan ini juga
dapat menjadi satu balasan budi kita terhadap para guru iaitu para pensyarah
yang telah mengajar dan mendidik kita menjadi seseorang pada masa kini.
Sesebuah universiti yang
sudah berusia lebih daripada 25 tahun dari tahun penubuhannya pasti mempunyai
sekurang-kurangnya 20 kumpulan pelajar yang sudah menghabiskan pengajian mereka
di universiti berkenaan. Dalam kalangan 20 kumpulan graduan berkenaan, pasti
ada yang sudah mendapat kejayaan dengan mengecapi jawatan yang tinggi dalam
sesebuah syarikat korporat dan meraih pendapatan yang tinggi. Oleh itu, penulis
berasakan pentingya kumpulan bekas pelajar berkenaan untuk kembali membantu
semula universiti mereka.
Setiap sumbangan boleh
disalurkan untuk membantu meringankan pelajar kurang kemampuan di universiti.
Di media sosial, terdapat banyak rungutan dan aduan telah dibuat secara terbuka
mengenai sebahagian pelajar yang tidak mampu untuk menyara diri mereka di
universiti. Dengan adanya bantuan tersebut, mudahlah bagi penerima sumbangan
tersebut untuk meneruskan pengajian mereka. Selain itu, sumbangan juga boleh
dibuat untuk mendanai projek-projek dan program-program yang digerakkan oleh
persatuan pelajar yang sentiasa menghadapi kekangan bajet. Sumbangan juga boleh
juga diberikan untuk menaiktaraf infrastruktur universiti yang kian usang,
mendanai usaha penyelidikan universiti dan juga boleh digunakan untuk menggaji
staf-staf atau pensyarah-pensyarah tambahan untuk melicinkan urusan pentadbiran
dan pengajaran di universiti. Namun begitu, ada beberapa perkara perlu diberi
perhatian oleh beberapa pihak.
Bagi pihak penderma,
sesuatu sumbangan hendaklah ikhlas tanpa ada niat ingin mendapat keuntungan
kembali kepada diri sendiri mahupun pihak syarikat yang dipimpin. Segala
sumbangan hendaklah diberikan atas niat ingin meringankan beban yang ditanggung
oleh pihak universiti dan membantu memelihara kebajikan dan pembangunan para
pelajar. Jika ada sumbangan yang melibatkan sejumlah wang yang besar, elok lagi
kiranya ada surat rasmi atau kertas kerja, meskipun ringkas, namun
sekurang-kurangnya dapat memberikan gambaran yang jelas kepada pihak universiti
mengenai tujuan sumbangan itu dilakukan.
Bagi pihak universiti,
antara yang paling kritikal ialah mengenai pengurusan kewangan. Hal ini perlu
dilihat dan dibaiki segera agar dapat meyakinkan para alumni untuk memberikan
sumbangan mereka. Isu ketirisan bukanlah isu yang baru, malah sudah banyak aduan
dan rungutan yang telah dikemukakan oleh para pelajar universiti sendiri. Jika
orang yang berada di dalam tidak yakin dengan pengurusan kewangan universiti,
apatah lagi pihak luar? Pernah penulis duduk semeja dengan seorang juruaudit
yang ditugaskan untuk mengaudit sebuah universiti tempatan. Katanya, memang
banyak isu yang beliau jumpa dan antaranya ialah staf yang bekerja di jabatan
kewangan universiti berkenaan tidak kompeten. Ini amat merisaukan penulis dan
hal seperti ini perlu diselesaikan segera. Jika orang bekerja dalam jabatan
kewangan pun tidak tahu tentang kerja yang mereka lakukan, apa lagi yang kita boleh
harapkan daripada prestasi pengurusan kewangan universiti? Sepatutnya
universiti harus melantik mereka yang sekurang-kurangnya ada latarbelakang
pendidikan perakaunan untuk menjadi pegawai kewangan universiti.
Selain itu, bahagian
pengurusan kewangan universiti hendaklah diaudit dan laporan kewangan yang
telah diaudit hendaklah diterbitkan secara terbuka agar semua pihak termasuk
para pelajar dapat mengetahui hasil audit yang telah dilakukan oleh juruaudit
yang telah dilantik. Pihak universiti mesti bersedia untuk meningkatkan
ketelusan dalam pentadbiran mereka. Jika keterbukaan ini tidak boleh
dilaksanakan atas batasan undang-undang, maka pindaan perlu dibuat.
Bagi menggalakkan lagi
sumbangan kepada universiti, pihak universiti hendaklah memudahcarakan para
penderma untuk membuat sumbangan. Selain daripada memusatkan sumbangan kepada
satu jabatan, pihak universiti perlu memberikan kebenaran kepada para penderma
untuk membuat sumbangan terus kepada pihak fakulti/kuliyah, asrama/mahallah
ataupun kepada pihak jabatan tertentu seperti sukan dan sebagainya. Lebih baik
lagi sekiranya semua pihak jabatan atau fakulti atau asrama boleh membuka kaunter
sumbangan masing-masing bagi membenarkan pihak penderma untuk datang dan
menerangkan tujuan sumbangan mereka atau menghulurkan surat atau kertas kerja.
Pihak universiti juga harus sentiasa bersedia untuk mengadakan pertemuan
ringkas dengan mana-mana pihak penderma yang mempunyai idea-idea yang baru dan
bernas untuk membantu semula universiti mereka agar kedua-dua pihak dapat
mencapai persefahaman yang jitu.
Penulis juga berharap
agar pihak kerajaan, melalu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dapat juga menyediakan
dan memudahkan pihak universiti untuk mendapatkan surat pelepasan cukai kepada
para penderma. Peraturan-peraturan dan had sumbangan yang sedia ada hendaklah
diringankan walaupun akan memberikan sedikit kesan terhadap jumlah kutipan cukai
pada masa akan datang. Namun pengurangan itu akan diganti oleh sumbangan yang
akan dilakukan oleh mereka yang berkemampuan kepada pihak universiti yang
asalnya menjadi tanggungan kerajaaan. Kerajaan mesti mewujudkan situasi
menang-menang dalam hal ini.
Sebagai kesimpulan,
penulis berharap lebih ramai orang akan lebih sedar terhadap kepentingan
berbakti semula kepada tempat kita belajar dahulu. Meskipun artikel ini
tidaklah sempurna mana kerana tidak menyentuh beberapa lagi perkara seperti
pengurusan data bekas pelajar dan sebahagiannya, namun diharapkan sedikit
sebanyak dapat memberikan sedikit kesan kepada para pembaca. Para pelajar yang
sedia ada di universiti hendaklah juga diberikan kesedaran akan kepentingan
untuk membantu semula universiti sebelum mereka melangkah keluar sebagai
seorang graduan.
Penulis boleh dihubungi melalui muhammadadamiium@gmail.com |
0 comments:
Post a Comment