Betapa untungnya masyarakat
di Lembah Klang kerana dapat peluang yang lebih besar untuk menghadiri
program-program atau wacana-wacana intelektual ataupun dipanggil oleh
sebahagian masyarakat sebagai majlis ilmu. Manakan tidak, terdapat pelbagai
program yang dianjurkan oleh pelbagai pihak sehingga penulis boleh dilema untuk
memilih mana satu majlis yang perlu dihadiri. Tidak dinafikan juga bahawa ilmu
dan maklumat yang disampaikan oleh penyampai yang terdiri daripada tokoh
akademik, korporat dan perniagaan, golongan profesional dan lain-lain, lebih
segar dan membina minda. Walaubagaimanapun, pada pendapat penulis, masih ada
ruang penambahbaikan yang perlu kita sama-sama renungi.
Taburan
Wacana Intelektual
Seperti yang telah
disebutkan di atas, banyak wacana intelektual diadakan di Lembah Klang. Namun,
tidak di luar kawasannya. Ramai lagi insan yang perlu disantuni dan dibantu
bagi membentuk minda yang lebih terbuka dan berdaya tinggi. Taburan wacana
intelektual hendaklah diperluas hinggalah ke kawasan pedalaman. Tidaklah wacana
intelektual itu dinampakkan sebagai saluran yang sesuai hanya untuk golongan
elit sahaja. Penulis bercadang agar taburan ini dapat diperluas melalui dua
cara.
Pertama,
penganjur-penganjur wacana intelektual di Lembah Klang boleh la bergerak
sedikit demi sedikit keluar daripada kawasan Lembah Klang. Jika hendak ke selatan,
bolehlah bermula di Nilai, Negeri Sembilan. Jika hendak ke Timur, boleh bermula
di kawasan Bentong. Jika hendak ke utara, boleh la mulakan di kawasan Hulu
Selangor ataupun Kuala Selangor. Cara kedua ialah memulakan wacana di setiap
ibu negeri. Misalnya Alor Setar di Kedah, Ipoh di Perak dan Kota Bharu di
Kelantan.
Walaubagaimanapun,
sokongan dana amatlah diperlukan oleh golongan hartawan, golongan ahli
perniagaan dan korporat dan mana-mana insan yang berpendapatan tinggi. Hal ini
disebabkan kebanyakan penganjur bukanlah terdiri daripada entiti yang bersifat
mencari keuntungan. Namun, mereka hanyalah sukarelawan yang sanggup
mengorbankan masa dan tenaga untuk membangunkan masyarakat demi masa depan
negara yang lebih baik. Usaha murni hendaklah disokong sepenuhnya oleh mereka
yang mempunyai kemampuan kewangan yang lebih.
Praktikaliti
Wacana yang membina ialah
wacana yang bukan sahaja mudah untuk difahami syarahannya, namun juga
memberikan idea yang praktikal kepada pendengar dan penonton untuk dilaksanakan
selepas sahaja sesi program. Amat rugi jika penganjuran wacana intelektual
hanya terhenti begitu sahaja tanpa ada apa-apa bentuk amal yang boleh dilakukan
oleh hadirin selepas itu. Ada sebahagian penganjur seolah-olah tidak serius
akan hal ini. Ada yang masih mahu menjemput penyampai yang begitu ‘syok sendiri’
dengan kata-kata melangitnya sehingga hadirin yang bertepuk tangan itupun entah
faham atau tidak apa yang telah disampaikan. Bukan itu sahaja, ada program yang
penulis pun tidak tahu kenapa masih mahu menumpukan perhatian lagi terhadap
permainan pendefinisan terma, sehingga idea kurang dikupas.
Bagi memudahkan pemahaman
pembaca, satu contoh yang boleh diberikan ialah seperti program tentang
kenaikan kos sara hidup, para penyampai perlulah berusaha untuk mencetuskan
idea yang baru agar para hadirin dapat membuat persediaan untuk menghadapi
kenaikan kos sara hidup. Jika antara masalahnya ialah monopoli, apakah yang
masyarakat boleh buat untuk memecahkan kuasa monopoli tersebut?
Rangkaian
Sebagai penganjur,
rangkaian hendaklah diperluas. Janganlah asyik nak jemput muka yang sama. Kalau
cakap pasal politik panggil dia, ekonomi pun dia dipanggil, hatta undang-undang
pon nak panggil dia. Bukan sahaja muka yang sama, malah janganah pula asyik nak
panggil golongan yang sama. Sebagai contoh, kalau nak buat wacana mengenai
ekonomi, panggil ahli politik. Wacana pendidikan pun nak panggil ahli politik
sahaja.
Betapa ramai pakar dalam
pelbagai bidang di luar sana yang masih belum didekati. Tambahan pula dengan
teknologi maklumat yang semakin berkembang maju, sepatutnya memudahkan kerja
bagi pihak penganjur untuk memperluas rangkaian dan melakukan kerja lebih untuk
meneliti calon penyampai yang sesuai untuk dijemput bagi sesuatu program.
Kesimpulannya, penulis
berharap ruang penambahbaikan ini dapatlah sama-sama direnungi dan diperbaiki
pada masa akan datang. Ini hanyalah pendapat peribadi sebagai seorang yang
mahukan masa depan negara dan umat yang lebih baik. Penulis sangat mengimpikan
agar masyarakat Malaysia secara amnya akan lebih bersifat terbuka, lebih cakna
dengan isu-isu yang lebih utama serta lebih tinggi daya fikirnya.
Penulis boleh dihubungi melalui muhammadadamiium@gmail.com |
0 comments:
Post a Comment