Berdasarkan pengalaman
kecil penulis yang kini bekerja sebagai juruaudit atau ramai orang panggil
sebagai auditor, nak kongsi sedikit tentang dua nilai penting yang patut semua
orang yang mempunyai pekerjaan yang sama. Kalau tak ada kedua-dua nilai ini,
maka ada sesuatu yang tidak kena pada orang tersebut.
1.
Teamwork (Bekerja Secara Berkumpulan)
Selepas meninggalkan
firma audit untuk bekerja di syarikat lain, nilai ini sepatutnya sudah ada
dalam orang tersebut. Kebiasaannya setiap tugasan yang diberikan secara
berkumpulan. Jadi, auditor perlu tahu kedudukan dirinya sebagai apa dalam
kumpulan tersebut. Jika dia seorang ketua kumpulan, dia patut tahu tentang
bagaimana untuk merancang tugasannya, memimpin pasukannya dan mengurus segala
konflik yang akan berlaku dalam kumpulannya. Bukan itu sahaja, peranan besarnya
juga terlibat dalam melatih dan membangunkan potensi anak-anak buahnya.
Namun, untuk menjadi
ketua yang baik, perlulah menjadi ahli kumpulan yang baik. Jika dia bukan
seorang ketua kumpulan, dia perlu sedar yang dia ada ketua kumpulan. Dia tidak
boleh membuat sebarang keputusan sesuka hati dan perlu mendapatkan nasihat
daripada ketua kumpulannya terlebih dahulu. Segala arahan perlu dipatuhi dengan
baik. Jika ada perbezaan pendapat, perlulah berbincang dengan tona yang harmoni.
Ahli kumpulan juga tak sepatutnya hanya mengharapkan ketua kumpulan untuk
mengajarkan segalanya bak dalam Bahasa Inggeris, ‘spoon feeding’. Dia perlu tahu yang ketua kumpulan ada peranan
besar yang perlu dipikul, sudah tentu tidak mahu diganggu dengan pelbagai
soalan kerana mahu fokus terhadap tugasnya. Ahli kumpulan harus mempunyai nilai
‘common sense’ untuk menguruskan hal
ini.
Apapun, bekerja secara
berkumpulan akan menjadi lebih efektif jika semua orang boleh merendahkan diri
dan ego masing-masing. Setiap orang tidak boleh mempunyai sikap sombong iaitu
rasa diri sendiri lebih baik daripada orang lain. Bekerja kumpulan bukanlah
peluang untuk kita membuktikan diri kita lebih baik daripada orang lain ataupun
ingin bersaing sesama sendiri, itu merupakan sikap individualistik. Sebaliknya,
bekerja secara berkumpulan merupakan wadah untuk kita membina kerjasama,
membentuk komunikasi dan berkongsi ilmu agar setiap ahli pasukan dapat
manfaatnya.
Kenapa nilai ini sangat
penting? Sebab rata-rata majikan di negara ini mahukan pekerja yang boleh
bekerja sebagai satu pasukan agar syarikat mereka dapat membina kejayaan yang
lebih cemerlang. Pasukan yang baik merupakan aset yang sangat penting bagi
sesebuah syarikat. Jika pekerja-pekerja di dalamnya berpecah-belah, sudah tentu
syarikat tersebut akan menjadi lemah dan mudah tersungkur dalam dunia
persaingan. Nilai ini juga terpakai dalam badan bukan kerajaan, institusi
pendidikan dan sebagainya.
2.
Kemahiran menguruskan masa
Ramai orang tahu yang
pekerjaan auditor ini akan mencabar ketahanan mental seseorang kerana tugasan
yang banyak dan masa yang sungguh terhad. Sebab itulah ramai mengenali auditor
sebagai pekerja yang selalu balik pada lewat malam. Memang tidak dinafikan
tentang realiti itu, namun tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak pandai
menguruskan masa.
Selalu bekerja sehingga
lewat malam tidak semestinya menunjukkan kita ini banyak kerja. Itu juga
petanda cara kita bekerja sebenarnya tidak efisyen. Namun, bukan juga bermaksud
kita perlu balik awal setiap hari. Kadangkala kita perlu meletakkan lebih
sedikit usaha untuk tinggal di pejabat selepas waktu bekerja untuk melakukan
pembelajaran tersendiri seperti membaca buku piawaian perakaunan (accounting standard), membelek buku-buku akta perundangan, menyemak
kerja-kerja yang telah siap atau menyiapkan kerja-kerja yang masih tertunggak.
Sudahlah banyak perkara
kita tak tahu dan kualiti kerja kita kurang baik, tetapi kita jugalah orang
yang selalu balik awal dan tidak mahu sedikitpun berusaha lebih untuk
memperbaiki prestasi kerja sendiri. Oleh itu, pengurusan masa sangatlah penting
agar setiap tugasan dapat diselesaikan dalam tempoh yang telah ditetapkan dan
hasil kerja berkenaan mempunyai kualiti yang tinggi.
Akhir sekali, sesibuk
mana pun kita, hendaklah sebaik mungkin kita menguruskan masa agar dapat
mencapai kehidupan yang seimbang. Buatlah aktiviti-aktiviti yang bermanfaat
selepas waktu bekerja atau pada waktu sengang seperti bersukan, membaca buku, keluar
berjalan atau menghadiri majlis ilmu. Moga nasihat daripada hamba yang kerdil
ini memberikan manfaat kepada para pembaca.
Penulis boleh dihubungi melalui muhammadadamiium@gmail.com |
0 comments:
Post a Comment