Thursday 28 November 2013

Posted by Muhammad Adam bin Roslan |
Assalamu'alaikum dan selamat sejahtera. Moga pembaca dalam keadaan sihat.

Ukhuwah kerana Allah. Apa yang kita faham selama ini? Adakah hubungan ini untuk sahabat-sahabat kita yang sangat rapat dengan kita? Selalu nampak perkataan-perkataan yang digunakan untuk menunjukkan berukhuwah kerana Allah dalam garisan masa Facebook apabila melihat rakan-rakan pos gambar-gambar kenangan mereka dengan rakan-rakan yang lain. Alhamdulillah, jika itu niatnya, maka teruskan.

Namun, persoalan yang timbul, adakah cukup sekadar kawan kita itu selalu bersama kita ke kelas, kafe, perpustakaan atau banyak berbual dengan kita atau banyak belanja kita makan, menunjukkan hubungan itu kerana Allah? Niat itu biar Allah sahaja yang nilai.

1) Tiada Kepentingan Peribadi

Apabila kita mahu memulakan hubungan dengan seseorang, letakkan soal kepentingan peribadi itu di tepi, jadikan niat kerana Allah itu sebagai perkara utama. Kadang-kadang kita tidak sedar, kita memilih seseorang untuk menjadi teman kita disebabkan beliau ini ada kelebihan yang boleh kita manfaatkan untuk masa-masa tertentu. Contohnya, jika dia pandai, maka dialah menjadi 'sahabat' kita nak mengulangkaji bersama dengannya. Kesannya, apabila di luar waktu ulangkaji, dia pun kita tinggalkan.

2) Ada Ketika Susah dan Senang

Ini susah nak cari. Ukhuwah kerana Allah ialah satu hubungan yang sangat luar biasa. Apabila kita ditimpa kesusahan, orang itu bukan sekadar mendengar cerita kita, tetapi sanggup mengorbankan apa sahaja yang mereka ada untuk membantu kita mengikut kemampuan mereka, namun ada juga sanggup membantu walaupun di luar kemampuan mereka.

Apa yang nak disampaikan ialah, rakan istimewa kita ini tidak berkira dalam soal berkongsi dengan apa yang ada. Kalau kita tidak ada duit, dia sudi untuk pinjamkan. Kalau kita mahu kahwin, dia sanggup carikan calon yang sesuai untuk kita. Saya pernah mendapat tahu, bahawa ada sekumpulan pelajar kita di luar negara sanggup bekerja untuk mencari wang untuk rakan mereka yang berhasrat untuk berkahwin! Tidak tahu kesahihan cerita ini. Benar atau tidak, ambil apa yang boleh dimanfaatkan. Sungguh hebat pengorbanan mereka.

3) Luar Garisan Sempadan dan Masa

Ukhuwah kerana Allah. Jika rakan itu berjauhan dengan kita dan umur kita juga semakin bertambah, dia tetap akan menghubungi kita walaupun masing-masing sudah ada komitmen yang berlainan. Ada pula yang ziarah rumah walaupun bukan pada musim perayaan. Ziarah-menziarahi ini amat penting untuk kita amalkan untuk merapatkan lagi ukhuwah sesama kita.

Jadi, ni sedikit apa yang boleh dikongsikan. Tulisan ini bukan untuk menilai niat seseorang. Namun, lihatlah rakan-rakan kita dengan mata hati. Boleh jadi orang yang rapat dengan kita(kalau ikut mata kasar), belum tentu dia nak berkawan dengan kita kerana Allah. Boleh jadi juga mereka yang kurang rapat dengan kita, atau kita anggap dia ini 'annoying', mereka ini sebenarnya rakan isitimewa kita kerana niatnya kerana Allah.
Niat itu kita serahkan Allah yang nilai.

Sabda Rasulullah s.a.w.

"Tiga perkara, sesiapa yang terdapat ketiga-tiga perkara itu dalam dirinya beliau akan mendapat kemanisan iman, iaitu : Bahawa Allah dan rasul-Nya lebih ia kasihi dari yang lain, bahawa beliau tidak mengasihi seseorang kecuali kerana Allah, bahawa beliau benci kembali kepada kekufuran sebagaimana beliau benci dilontarkan ke dalam neraka." (Hadith diriwayatkan oleh Al-Bukhari)

Nota: Kadang-kadang kita juga tidak sedar, kita berkawan dengan 'orang-orang tertentu' sahaja kerana mereka mempunyai ciri-ciri yang kita suka atau mempunyai ciri-ciri atau minat yang sama dengan kita. Jika niatnya kerana Allah, maka penerimaan diri kita dengan semua orang akan menjadi lebih terbuka. Carilah rakan-rakan yang soleh dan solehah, itu lebih baik supaya kita sentiasa dapat mengingati Allah. Bukan bermaksud kita perlu pinggirkan kawan-kawan kita yang 'biasa2', tetapi jangan ikut cara hidup yang tidak baik. Bantu mereka.


Segala pertanyaan atau pendapat boleh dilontarkan melalui:

1) Facebook- Muhammad Adam(Perintis Muda)
2) Twitter - Muhammad Adam/@AdamRoslan1
3) Komen di bawah

0 comments: