Monday, 23 December 2013

Posted by Muhammad Adam bin Roslan |
Assalamu'alaikum. 

Seperti sudah menjadi satu budaya. Setelah mendapat keputusan peperiksaan atau hendak memasuki tahun atau semester yang baru, azam akan dipasang untuk berusaha dengan lebih baik. Menariknya, niat akan diperbaharui untuk belajar kerana Allah. Namun, setelah berada di pertengahan jalan, apabila diuji dengan kuiz, peperiksaan dan 'assignment' yang banyak, tanpa disedari niat yang dipasang itu tenggelam dan fokus hanya kepada satu iaitu mencapai keputusan yang terbaik walau apa cara sekali pun.

Inilah satu kitaran, mungkin bagi sebahagian pelajar. Ya, siapalah kita manusia untuk menilai niat orang lain, padahal hanya Allah yang berhak menilai. Namun, tanda-tanda tidak ikhlas pasti ada. Apapun, kita yang peminjam hati sendiri perlu banyak bermuhasabah. Apakah setiap usaha kita ini disulami dengan niat kerana Allah semata-mata atau sebaliknya?

Pada kali ini, penulis nak membantu anda semua untuk memastikan niat kita dapat dikekalkan daripada awal hingga akhir. Niat yang baik sangat cantik dipasang jika disertakan dengan amalan yang baik, tidak sekadar memasang semata-mata. Penulis pasti, ramai tertanya-tanya mengapa mula-mula niatnya kerana Allah tetapi di pertengahan jalan cara hidupnya seolah-olah tidak menggambarkan niat tersebut. Ada yang sanggup tidur lewat untuk mengulangkaji pelajaran, namun waktu Solat Subuh diabaikan. 


Tawakal itu Kunci Utama

Dalam dunia pelajaran pasti ramai pernah dengar akan tips-tips belajar iaitu usaha, doa dan tawakal. Tawakal atau berserah diri merupakan satu kunci utama dalam usaha kita mencapai kejayaan. Kita perlu berserah sepenuhnya kepada Allah setelah berusaha dan berdoa kepada-Nya. Kita kena yakin bahawa setiap keputusan pada akhirnya ialah terbaik yang Allah beri.

Jika setiap pelajar benar-benar memahami dan menghayati tentang konsep tawakal ini, mereka akan belajar mengikut kapasiti mereka dan yakin dengan apa yang mereka belajar. Mungkin ada sebahagian kita, walaupun dah belajar semua, namun masih ada rasa tak cukup dan tak yakin pada diri. Akhirnya banyak lagi masa yang akan digunakan untuk belajar, padahal masa yang ada itu boleh dimanfaatkan untuk perkara lain.

Perkara ini sangat mustahak kerana masih ramai pelajar kita yang masih lagi kurang berbakti untuk umat kerana takut pelajarannya akan terganggu. Jika masa muda kita dihabiskan hanya untuk akademik semata-mata, maka rugilah kita kerana kita ada tenaga dan idea untuk disumbangkan. Namun, akibat terlalu takut dengan prestasi pelajaran, sedikit demi sedikit kita semakin jauh daripada semangat untuk menyumbang. Kesannya, kita akan menjadi orang yang hanya mementingkan diri sendiri dalam keadaan yang tidak sedar kerana pada saat umat Islam sedang memerlukan kita, adakah kita sanggup untuk menjawab kepada mereka, "Aku ada exam."?

Berbeza dengan orang yang berserah diri kepada Allah sepenuhnya. Setelah menelaah buku-buku atau membuat latihan yang secukupnya, dia akan menggunakan masa lapangnya untuk berbakti kepada umat atau membuat perkara yang bermanfaat. Dia tidak akan hanya menghabiskan waktu hidupnya di tempat belajar hanya untuk belajar semata-mata. Dia bukan tidak mementingkan pembelajaran, namun dia tahu bila dia akan rasa cukup.

Selain itu, setelah berserah diri, seharusnya diri anda perlu bersedia untuk menerima apa jua keputusan. Jika anda yakin bahawa keputusan itu terbaik yang Allah beri, maka anda akan sukar untuk kecewa sekiranya tidak dapat apa yang hendak dicapai. Bukan itu sahaja, anda juga tidak akan sewenang-wenangnya menyalahkan faktor luar menjadi penghalang kejayaan anda. Anda akan banyak bermuhasabah atau setidak-tidaknya anda akan sedar mungkin ada berlaku kekurangan dalam cara atau strategi pembelajaran anda. Selepas itu, anda akan memperbaiki cara atau strategi belajar anda, bukan menghukum diri dengan menyekat segala aktiviti luar atau kurangkannya seperti yang pernah dilakukan sebahagian pelajar.


Perlu Tahu Batas Diri

Pelajar perlu tahu batas diri mereka. Tidak boleh belajar sehingga mengabaikan 'ibadah yang lebih utama terutamanya solat fardhu. Kesihatan juga perlu dijaga. Belajarlah hidup sederhana, iaitu berusaha sebaik mungkin namun berhenti jika telah sampai pada batasnya. Belajarlah dengan tenang dan yakin.

Mungkin juga akibat tidak mahir dalam menguruskan tekanan menyebabkan niat kita tenggelam di tengah perjalanan. Kalaulah kita tahu dan sedar bahawa soalan peperiksaan yang susah, 'assignment' yang banyak atau dugaan yang lain itu merupakan satu ujian daripada Allah, dan kita pula bersabar dan bersyukur ketika diuji, alangkah hebatnya kita. Ketika kita hendak memasang niat kerana Allah, kita perlu sedar bahawa kita juga perlu melalui ujian-ujian dalam dunia pembelajaran yang akan memaksa niat murni kita itu untuk tenggelam. Jika kita tidak melakukan persiapan untuk itu, maka niat asal kita juga akan tenggelam.

Akhir sekali, penulis sarankan agar kita sama-sama sentiasa semak semula niat kita di sepanjang perjalanan kehidupan sebagai seorang pelajar terutamanya setelah kita diduga dengan ujian. Semoga kita sentiasa kekal dalam jalan yang diredhai Allah.


Jika ada sebarang pertanyaan atau pendapat:
1) Komen bawah
2) FB- Muhammad Adam(Perintis Muda)
3) Twitter- Muhammad Adam / @AdamRoslan1




7 comments:

SafenaChua said...

SubhanAllah. Jazakallahu khair atas peringatan dan 'ilmu bermanfaat ini :)
Lepas ni, mungkin Adam boleh tambah sikit ayat dari Al-Quran atau Hadith atau kisah sahabat untuk dijadikan rujukan dan kekuatan semangat bagi kita semua yang bergelar pelajar fisabilillah.

SafenaChua said...

Wallahualam :) inshaAllah

Muhammad Adam bin Roslan said...

Terima kasih atas kesudian untuk memberikan pandangan.. :)

Aisyah Sharif said...

jazakallah khair. terima kasih untuk entri ini. lepas ni boleh kongsi cara adam belajar. mungkin boleh jadi contoh

Muhammad Adam bin Roslan said...

Terima kasih atas cadangan.. :)

Nur Diyana said...

maaf bertanya, bagaimana cara untuk menghilangkan perasaan takut apabila mendapat pointer yang rendah, dan takut pandangan ahli keluarga terdekat terhadap prestasi exam kita

srikandiabubakar said...

Assalamualaikum..sedikit pandangan bagi menjawab soalan Nur Diyana..perasaan takut dapat pointer rendah tu,sudah pasti menjadi satu kebiasaan dalam diri seorang pelajar.pendapat saya,untuk mengatasinya,tawakal pada Allah.Berserah pada Allah.Ingatlah sentiasa, kita berusaha,dan Allah yang menentukan.Dan semestinya ketentuan Allah itu adalah yang terbaik untuk kita. Sentiasa bisik dalam hati,"aku telah cuba yang terbaik,Allah juga akan bagi yang terbaik untuk aku"..InsyaAllah ketenangan itu akan datang,seperti firmanNya,"Sesiapa yang mengingati Allah, hatinya akan jadi tenang"..(Ar-Ra'd:28)..