Institusi pengajian
Islam terdiri daripada sekolah rendah, sekolah menengah, Maahad Tahfiz, sekolah
pondok, universiti dan kolej tidak kira dinaungi oleh pihak kerajaan mahupun
swasta atau permilikan secara persendirian. Mengikut pemerhatian peribadi
penulis, permintaan bagi mendapatkan pendidikan Islam secara formal mahupun
tidak formal kian meningkat saban tahun. Hal ini merupakan perkara yang baik
untuk umat Islam.
Kebiasaannya, suasana
atau persekitaran di Institusi Pengajian Tinggi(IPT) Islam yang terdiri
daripada universiti dan kolej lebih baik daripada Institusi Pengajian Tinggi
yang tidak menggunakan perkataan ‘Islam’ dalam nama mereka. Penjagaan dari segi
hubungan antara lelaki dan perempuan, soal pemakaian misalnya boleh dikatakan
lebih terjaga dalam universiti dan kolej Islam. Selain itu, ada juga penuntut
yang sudah berakhlak mulia sejak sebelum menyertai IPT Islam lagi. Persekitaran
yang baik dan rakan sebaya yang baik merupakan antara faktor menyebabkan
penghijrahan dari segi akhlak bagi sebahagian penuntut universiti dan kolej
Islam ke arah yang lebih baik.
Walaupun penghijrahan
yang berlaku dalam kalangan pelajar di dalam universiti dan kolej Islam merupakan
perkara yang amat baik, namun, perkara ini tidak boleh dijadikan satu budaya.
Hal ini disebabkan matlamat penubuhan universiti dan kolej Islam bukanlah
sebagai tempat untuk mengubah akhlak yang menyebabkan IPT Islam tidak ubah
seperti pusat pemulihan akhlak yang menempatkan para pesakit akhlak untuk
dirawat akhlak mereka.
Perkara ini belum
termasuk memperbaiki ilmu asas dalam kalangan pelajar seperti pengajaran rukun
solat yang sudah diajar sejak alam persekolahan, namun masih ada lagi yang
belum sempurna dalam pelaksanaan solat mereka. Ini menyebabkan universiti dan
kolej Islam lambat untuk berkembang sebagai sebuah pusat ketamadunan manusia
berlandaskan ilmu.
Visi Besar IPT Islam
Harus Diselaraskan
Visi Institusi Pengajian
Tinggi(IPT) Islam seharusnya diselaraskan iaitu mendidik umat menjadi
pakar-pakar dalam bidang ilmu yang mereka ceburi bagi menyumbang terhadap
pembangunan umat Islam pada masa akan datang. Sekiranya visi ini tercapai, maka
secara tidak langsung kita sudah mempersiapkan umat Islam untuk mencapai
gelaran khayra ummah seperti yang terdapat dalam Surah Al-‘Imran ayat 110 .
Visi ini juga perlu dijelaskan kepada masyarakat awam agar tidak menjadikan
universiti dan kolej Islam sebagai tempat pertama mendidik anak mereka menjadi
insan yang berakhlak mulia sebaliknya persekitaran yang baik di universiti
seharusnya menjadi faktor anak-anak mereka mengekalkan akhlak mulianya atau
setidak-tidaknya IPT Islam menjadi tempat terakhir untuk memperbaiki akhlak
anak-anak mereka. Sekiranya titik permulaan para penuntut ilmu sudah baik dari
segi akhlaknya, maka proses membina tamadun manusia yang cemerlang dapat
dipercepatkan.
IPT Islam tidak boleh
dipandang remeh oleh masyarakat. Penuntut di institusi berkenaan perlu
diupayakan untuk melakukan sesuatu yang besar sewaktu pada usia yang muda. Universiti
dan kolej Islam seharusnya menjadi hub bagi idea-idea yang segar hasil daripada
kreativiti dan inovasi anak-anak muda Muslim. Para penuntut perlu digalakkan
untuk berfikir agar dapat menghasilkan idea-idea besar untuk menyumbangkan
sesuatu kepada umat seperti alat-alat elektronik yang belum pernah ditemui oleh
masyarakat tetapi mempunyai manfaat yang besar kepada umat. Mereka perlu
berfikir perkara yang lebih jauh daripada sekadar memikirkan tentang soal
kerjaya dan masa depan individu.
Pengetahuan asas
tentang Islam harus dikuasai oleh para penuntut IPT Islam dan para pendidik
bolehlah memfokuskan ilmu yang lebih tinggi untuk dikuasai oleh anak-anak murid
mereka. Bukan itu sahaja, kemahiran-kemahiran tertentu perlu juga dikuasai
untuk mengadakan program dan projek yang berimpak tinggi kepada umat.
Keluarga Juga Institusi
Pendidikan
Keluarga memainkan
peranan yang sangat penting terhadap pembentukan peribadi anak-anak mereka.
Nilai-nilai Islam perlu diterapkan dalam diri anak-anak sejak dari usia kanak-kanak
lagi agar mereka tidaklah baru nak merangkak-rangkak untuk mengubah akhlak
mereka sewaktu pengajian mereka di IPT Islam nanti. Ibu bapa seharusnya
menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak. Sirah Rasulullah s.a.w,
sahabat-sahabat Baginda serta kisah perjuangan Islam seperti dalam zaman
Abbasiyah seharusnya banyak diceritakan kepada anak-anak untuk dijadikan
teladan dan pemangkin semangat, bukan disajikan dengan filem dan drama yang
kurang faedahnya.
Sekiranya ibu bapa
tidak ada keupayaan dari segi ilmu, mereka juga boleh meringankan kaki mereka
untuk pergi ke majlis ilmu dan mengajak anak-anak mereka untuk pergi sekali.
Selain itu, ibu bapa juga boleh mengajar anak-anak mereka tentang apa yang
dipelajari oleh mereka semasa bertandang di majlis ilmu.
Kesimpulannya, kita
perlu menjadikan universiti dan kolej Islam kita sebagai pusat pembinaan
tamadun Khayra Ummah, bukan pusat pemulihan akhlak. Semoga kita berada dalam
kalangan umat yang cemerlang. Mari kita perjuangkan!
1 comments:
satu kupasan isu yang bagus.
Post a Comment