Monday 16 June 2014

Posted by Muhammad Adam bin Roslan |
Institusi pengajian Islam terdiri daripada sekolah rendah, sekolah menengah, Maahad Tahfiz, sekolah pondok, universiti dan kolej tidak kira dinaungi oleh pihak kerajaan mahupun swasta atau permilikan secara persendirian. Mengikut pemerhatian peribadi penulis, permintaan bagi mendapatkan pendidikan Islam secara formal mahupun tidak formal kian meningkat saban tahun. Hal ini merupakan perkara yang baik untuk umat Islam.

Kebiasaannya, suasana atau persekitaran di Institusi Pengajian Tinggi(IPT) Islam yang terdiri daripada universiti dan kolej lebih baik daripada Institusi Pengajian Tinggi yang tidak menggunakan perkataan ‘Islam’ dalam nama mereka. Penjagaan dari segi hubungan antara lelaki dan perempuan, soal pemakaian misalnya boleh dikatakan lebih terjaga dalam universiti dan kolej Islam. Selain itu, ada juga penuntut yang sudah berakhlak mulia sejak sebelum menyertai IPT Islam lagi. Persekitaran yang baik dan rakan sebaya yang baik merupakan antara faktor menyebabkan penghijrahan dari segi akhlak bagi sebahagian penuntut universiti dan kolej Islam ke arah yang lebih baik.

Walaupun penghijrahan yang berlaku dalam kalangan pelajar di dalam universiti dan kolej Islam merupakan perkara yang amat baik, namun, perkara ini tidak boleh dijadikan satu budaya. Hal ini disebabkan matlamat penubuhan universiti dan kolej Islam bukanlah sebagai tempat untuk mengubah akhlak yang menyebabkan IPT Islam tidak ubah seperti pusat pemulihan akhlak yang menempatkan para pesakit akhlak untuk dirawat akhlak mereka.

Perkara ini belum termasuk memperbaiki ilmu asas dalam kalangan pelajar seperti pengajaran rukun solat yang sudah diajar sejak alam persekolahan, namun masih ada lagi yang belum sempurna dalam pelaksanaan solat mereka. Ini menyebabkan universiti dan kolej Islam lambat untuk berkembang sebagai sebuah pusat ketamadunan manusia berlandaskan ilmu.

Visi Besar IPT Islam Harus Diselaraskan

Visi Institusi Pengajian Tinggi(IPT) Islam seharusnya diselaraskan iaitu mendidik umat menjadi pakar-pakar dalam bidang ilmu yang mereka ceburi bagi menyumbang terhadap pembangunan umat Islam pada masa akan datang. Sekiranya visi ini tercapai, maka secara tidak langsung kita sudah mempersiapkan umat Islam untuk mencapai gelaran khayra ummah seperti yang terdapat dalam Surah Al-‘Imran ayat 110 . Visi ini juga perlu dijelaskan kepada masyarakat awam agar tidak menjadikan universiti dan kolej Islam sebagai tempat pertama mendidik anak mereka menjadi insan yang berakhlak mulia sebaliknya persekitaran yang baik di universiti seharusnya menjadi faktor anak-anak mereka mengekalkan akhlak mulianya atau setidak-tidaknya IPT Islam menjadi tempat terakhir untuk memperbaiki akhlak anak-anak mereka. Sekiranya titik permulaan para penuntut ilmu sudah baik dari segi akhlaknya, maka proses membina tamadun manusia yang cemerlang dapat dipercepatkan.

IPT Islam tidak boleh dipandang remeh oleh masyarakat. Penuntut di institusi berkenaan perlu diupayakan untuk melakukan sesuatu yang besar sewaktu pada usia yang muda. Universiti dan kolej Islam seharusnya menjadi hub bagi idea-idea yang segar hasil daripada kreativiti dan inovasi anak-anak muda Muslim. Para penuntut perlu digalakkan untuk berfikir agar dapat menghasilkan idea-idea besar untuk menyumbangkan sesuatu kepada umat seperti alat-alat elektronik yang belum pernah ditemui oleh masyarakat tetapi mempunyai manfaat yang besar kepada umat. Mereka perlu berfikir perkara yang lebih jauh daripada sekadar memikirkan tentang soal kerjaya dan masa depan individu.
Pengetahuan asas tentang Islam harus dikuasai oleh para penuntut IPT Islam dan para pendidik bolehlah memfokuskan ilmu yang lebih tinggi untuk dikuasai oleh anak-anak murid mereka. Bukan itu sahaja, kemahiran-kemahiran tertentu perlu juga dikuasai untuk mengadakan program dan projek yang berimpak tinggi kepada umat.

Keluarga Juga Institusi Pendidikan

Keluarga memainkan peranan yang sangat penting terhadap pembentukan peribadi anak-anak mereka. Nilai-nilai Islam perlu diterapkan dalam diri anak-anak sejak dari usia kanak-kanak lagi agar mereka tidaklah baru nak merangkak-rangkak untuk mengubah akhlak mereka sewaktu pengajian mereka di IPT Islam nanti. Ibu bapa seharusnya menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak. Sirah Rasulullah s.a.w, sahabat-sahabat Baginda serta kisah perjuangan Islam seperti dalam zaman Abbasiyah seharusnya banyak diceritakan kepada anak-anak untuk dijadikan teladan dan pemangkin semangat, bukan disajikan dengan filem dan drama yang kurang faedahnya.

Sekiranya ibu bapa tidak ada keupayaan dari segi ilmu, mereka juga boleh meringankan kaki mereka untuk pergi ke majlis ilmu dan mengajak anak-anak mereka untuk pergi sekali. Selain itu, ibu bapa juga boleh mengajar anak-anak mereka tentang apa yang dipelajari oleh mereka semasa bertandang di majlis ilmu.


Kesimpulannya, kita perlu menjadikan universiti dan kolej Islam kita sebagai pusat pembinaan tamadun Khayra Ummah, bukan pusat pemulihan akhlak. Semoga kita berada dalam kalangan umat yang cemerlang. Mari kita perjuangkan!





1 comments:

Dee Baa said...

satu kupasan isu yang bagus.