Friday 29 August 2014

Posted by Muhammad Adam bin Roslan |
Kuala Lumpur merupakan bandar yang paling maju dan paling pesat. Disebabkan pelaburan begitu banyak tertumpu di ibu negara, maka banyak kemajuan fizikal telah dapat dibina dan hasilnya boleh dilihat dengan pandangan kasar. Banyak bangunan pencakar langit, kemudahan infrastruktur dan perkhidmatan awam yang mudah didapati di Kuala Lumpur. Dengan adanya pelaburan jugalah banyak peluang pekerjaan yang ditawarkan yang akhirnya berlaku migrasi secara besar-besaran. Sebahagian besar penduduk yang tinggal di bandar di negeri lain(selain Selangor dan Kuala Lumpur) dan di luar bandar telah berpindah ke kotaraya itu mencari makan bagi menyara kehidupan mereka dan keluarga mereka.

Kesannya, bilangan penduduk di Kuala Lumpur telah meningkat dengan begitu mendadak dan jumlah kepadatan di Kuala Lumpur begitu besar.  Mengikut data yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Statisitik Negara, jumlah penduduk semasa di Kuala Lumpur pada tahun ini ialah dianggarkan seramai 1.73 juta  manakala pada tahun 2010, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merupakan tempat yang mempunyai kepadatan penduduk yang paling tinggi di negara kita iaitu 6891 orang setiap kilometer persegi.[1] Oleh sebab itu, tidak hairan mengapa di Kuala Lumpur berlakunya kesesakan lalu lintas yang begitu kerap walaupun bukan dalam waktu puncak.
Namun, tidakkah kita sebagai rakyat Malaysia terfikir tentang satu persoalan yang besar iaitu adakah pemesatan yang berlaku seperti di Kuala Lumpur juga berlaku di negeri-negeri lain? Jika tidak, mengapa? Walaupun Kuala Lumpur mempunyai status sebagai ibu negara Malaysia, namun kita tidak boleh menafikan keperipentingan akan peranan dari negeri-negeri selain Kuala Lumpur dan Selangor.

Negeri-negeri lain yang mempunyai ibu negeri seperti Alor Setar sehingga masih tidak mempunyai bangunan pejabat syarikat swasta yang tesergam gah seperti di Kuala Lumpur, kawasan pedalaman seperti di Kuala Pilah misalnya tidak mempunyai kemudahan perkhidmatan awam seperti Kuala Lumpur dan banyak kawasan luar bandar terutamanya di Sabah dan Sarawak yang tidak mempunyai kekuatan ekonomi sehebat Kuala Lumpur kerana kurangnya anak-anak muda yang mahu bekerja di luar bandar. Sebab itulah kesesakan lalu lintas yang berlaku di bandar lain tidak seburuk di Kuala Lumpur melainkan ketika musim perayaan atau pada waktu puncak. Inilah yang dinamakan jurang kemajuan dan demografi antara bandar dan luar bandar di Malaysia.

Kita pernah dimaklumkan tentang satu projek mega yang telahpun dilaksanakan di negeri Johor iaitu Bandar Iskandar yang mana penulis merasakan mampu menjadi bandar alternatif selain Kuala Lumpur untuk rakyat kita bermigrasi ke sana bagi mencari pendapatan. Walaubagaimanapun, sehingga sekarang, penulis masih tidak tahu sejauh manakah sumbangan projek Iskandar itu dengan hasil pelaburan yang begitu banyak terhadap pembangunan ekonomi negara khususnya pembangunan ekonomi masyarakat setempat.

Malaysia merupakan negara yang begitu kaya dengan pelbagai sumber dan ini merupakan satu peluang untuk kita memanfaatkan sumber-sumber alam yang mampu menjana pendapatan buat negara dan rakyat. Syarikat-syarikat berkaitan kerajaan atau dikenali sebagai ‘Government-Linked Company’ dan syarikat swasta seharusnya bersedia untuk menyediakan dana bagi melaburkan wang ke tempat-tempat lain bagi membuka peluang pekerjaan yang lebih banyak lagi.

Walaubagaimanapun, penulis bukanlah mahu Kuala Lumpur dijadikan sebagai model untuk memajukan tempat-tempat lain kerana setiap tempat kebiasaannya mempunyai nilai kebudayaannya yang tidak boleh dihapuskan. Nilai-nilai yang baik seperti semangat saling hormat-menghormati, tolerasi antara kaum dan kehidupan yang mengamalkan ajaran agama yang sudah diterapkan dalam diri masyarakat serta diamalkan harus dikekalkan. Tidak seperti Kuala Lumpur yang mengalami urbanisasi yang banyak ditumpukan pada aspek fizikal tetapi semakin hilang aspek kerohanian dan moralnya yang tergambar dalam cara hidup sebahagian penduduk di bandar itu. Bukan itu sahaja, identiti bagi setiap tempat yang ingin dibangunkan juga perlu diperkenalkan supaya menjadi mercu tanda yang dapat membezakan tempat-tempat yang pelbagai.

Penulis yakin produktiviti negara mampu dimaksimumkan sekiranya tiada diskriminasi pelaburan di dalam negara kita. Sumber negara harus dibahagikan secara saksama agar keadilan sosial dapat dicapai. Oleh itu, pihak kerajaan dan swasta harus memainkan peranan yang penting bagi membangunkan Malaysia dan memaksimumkan penggunaan tanah-tanah di Malaysia yang seharusnya tidak dibiarkan kekosongan tanpa ada usaha untuk mengadakan aktiviti ekonomi. Pada masa yang sama, khazanah alam hendaklah dijaga agar supaya tidak terhapus akibat nafsu-nafsi manusia yang mahukan kekayaan dunia.



[1] Web Jabatan Statisitik Negara Malaysia, www.statistic.gov.my





Penulis boleh dihubungi melalui muhammadadamiium@gmail.com

0 comments: