Nasihat merupakan satu perbuatan yang sangat baik kerana boleh memotivasikan seseorang itu terus-menerus melakukan kebaikan melalui penggunaan perkataan-perkataan yang baik. Selain itu, nasihat juga boleh membantu seseorang daripada melakukan sebarang kemungkaran. Sesungguhnya nasihat itu amat penting buat kita sebagai manusia yang sering lupa kerana nasihat bisa menjadi peringatan untuk kita bersama.
Nasihat melibatkan dua pihak yang berbeza iaitu pemberi nasihat dan penerima nasihat. Ada beberapa perkara yang perlu kita teliti bersama supaya nasihat yang hendak disampaikan dapat memberikan kesan yang baik serta mudah diterima oleh orang lain.
Pemberi Nasihat
Tanggungjawab untuk memberi nasihat sememangnya tidak tertakluk kepada mana-mana individu yang berbeza umur, pangkat, pengaruh dan kekayaannya. Semua orang mempunyai tanggungjawab yang sama iaitu memberikan nasihat antara satu sama lain agar kita dapat bersama mengajak ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran. Hatta, dalam Al-Quran Allah telah berfirman mengenai umat yang cemerlang iaitu:
"Kamu (wahai umat
Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat
manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan
melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu
pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah
Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang
semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di
antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang
fasik." (Surah Ali-'Imran:110)
Namun, ada beberapa perkara yang perlu dijaga oleh orang yang nak memberikan nasihat. Pertamanya, jika kesalahan yang dilakukan oleh seseorang itu bersifat peribadi, hendaklah kita memberikan nasihat secara tertutup kerana takut-takut cara yang terbuka itu akan memalukan si pelaku dan lebih teruk lagi, dia akan menjauhi diri lagi daripada melakukan kebaikan. Itulah risiko yang perlu dihadapi oleh pemberi nasihat.
Selain itu, kita hendaklah menggunakan perkataan-perkataan yang baik dan tepat untuk memberikan nasihat kepada orang lain supaya hatinya terjaga dan selesa untuk mendengar nasihat kita. Gunakan perkataan yang boleh menaikkan semangat orang supaya bangkit daripada kekecewaan. Nasihat juga perlu diberikan pada waktu dan tempatnya. Kita tidak disuruh untuk memberikan nasihat terlalu kerap sehingga membuatkan orang lain berasa tidak selesa dan merasakan seolah-olah dia diperhatikan oleh kita pada setiap masa. Kesannya, akan timbul rasa seolah-olah kita mencari kesalahan dirinya. Sebaliknya, hendaklah kita memberikan ruang masa untuk orang lain berubah dan berikan nasihat pada waktunya.
Di samping itu juga, nasihatlah mengikut tempatnya. Kadangkala kita ini terlalu gopoh nak berikan nasihat dan kesannya menyebabkan seseorang itu sukar untuk menerima nasihat kita. Sebagai contoh, ketika berada dalam majlis orang ramai merupakan tempat yang tidak sesuai untuk kita sampaikan nasihat kerana waktu itu ramai orang yang berada di sekeliling kita dan itu akan menyebabkan si penerima nasihat akan berasa malu.
Sebelum memberi nasihat, pastikan emosi kita berada dalam stabil. Apabila emosi tidak stabil, maka yang keluar daripada mulut bukanlah nasihat yang datang daripada penggunaan akal yang baik serta hati yang ikhlas, tetapi lebih pada perasaan marah dan akan menyebabkan orang sukar untuk menerima nasihat, malah akan terguris hatinya. Lebih baik berdiam daripada berkata-kata ketika emosi tidak stabil.
Selain itu juga, tetapkan pada hati masing-masing bahawa kita sebenarnya memberikan nasihat kepada diri sendiri dahulu baru orang lain kerana telinga yang paling dekat mendengar suara kita ialah telinga kita, mata yang paling hampir melihat tulisan kita ialah tulisan kita dan hati yang paling dekat dengan kita ialah hati kita. Letakkan kita sebagai orang pertama untuk diberi nasihat terlebih dahulu supaya kita tidak menjadi ego dan merasakan diri lebih baik daripada orang lain. Kita juga tidak boleh lupa bahawa kita juga perlu cuba sedaya upaya untuk membuat apa yang kita nasihatkan.
Selepas memberikan nasihat, hendaklah kita berdoa agar orang berkenaan diberikan hidayah supaya dapat berubah ke arah kebaikan. Usah mengharap seseorang itu untuk terus mendengar nasihat kita dalam tempoh yang singkat, sebaliknya berdoalah untuk dirinya supaya suatu hari nanti dia dapat ikut apa yang kita nasihatkan.
Penerima Nasihat
Begitu juga buat penerima nasihat, semua manusia berhak untuk dinasihati walaupun berbeza umur mahupun pangkat kerana manusia tidak terkecuali daripada melakukan kesilapan. Oleh itu, perkara pertama yang harus kita persiapkan diri kita ialah berlapang dada. Berlapang dada dan telanlah nasihat orang walaupun kekadang pahit untuk ditelan. Namun, kepahitan itulah yang akan menjadi ubat untuk iman kita agar iman kita kembali pulih.
Kita tidak boleh menjadi terlalu sensitif. Kadang-kadang hati kita membentak apabila mendengar nasihat orang bukanlah kerana penggunaan perkataan yang tidak baik oleh orang lain, tetapi hati kita yang keras. Apabila hati sudah menjadi keras, memang sukar perkataaan yag baik sekalipun mampu untuk memasuki hati kita. Hal ini sangat bahaya kerana kita akan merasakan kita yang betul. Bahaya ini juga boleh berpunca daripada diri kita yang sudah terbiasa dengan kemaksiatan yang dilakukan sehingga merasakan kemaksiatan yang dibuat itu seolah-olah 'halal' buat diri kita. Boleh juga kerana sikap kita yang ego dan takut malu apabila kesalahan yang dilakukannya diketahui orang.
Bagi membetulkan keadaan demikian, kita haruslah mengakui kesilapan yang kita lakukan, bukanlah bermaksud kita kena membuat pengakuan di hadapan orang ramai. Namun, cukuplah kita berasa diri kita bersalah supaya kita dapat mengawal keegoan kita.
0 comments:
Post a Comment