Golongan agamawan
merupakan insan yang terlibat secara langsung dalam bidang agama. Merekalah
yang banyak mendalami ilmu-ilmu agama seperti fiqh, tasawwuf, hadith dan sebagainya.
Ahli hadith, asatizah dan penggerak gerakan Islam merupakan sebahagian daripada
golongan agamawan. Golongan professional pula merupakan golongan yang terlibat
secara langsung dalam pembangunan sains dan tekonologi, bahasa dan
kesusasteraan dan lain-lain bidang selain agama. Doktor, jurutera, akauntan dan
lain-lain merupakan sebahagian daripada golongan professional.
Kedua-dua golongan ini
mempunyai peranan yang tersendiri dan sangat penting untuk membawa umat Islam ke
jalan yang benar. Agamawan berperanan bagi menegakkan Islam di muka bumi ini
dengan mengajarkan manusia tentang ilmu-ilmu agama dan menyebarkan mesej Islam
kepada seluruh manusia untuk mendekatkan diri kepada Allah. Golongan
professional pula menegakkan Islam di muka bumi dengan membantu umat dalam
mengembangkan kemajuan mereka terhadap bidang duniawi seperti sains dan
teknologi, ekonomi dan politik agar umat Islam dapat hidup dengan lebih baik
dan mampu menjadi berdaya saing dengan masyarakat yang lain. Meskipun begitu,
golongan professional Islam seharusnya mempunyai ilmu asas agama Islam yang
kukuh agar mereka dapat memahami Islam dan ‘Ibadah mereka juga dapat
dilaksanakan dengan baik.
Pada zaman ini, amat
sukar untuk kita menemui seseorang yang mampu menguasai ilmu agama dengan ilmu
duniawi secara mendalam sekaligus. Mengikut pengalaman, penulis masih belum
lagi menjumpai pakar agama dan juga sains dan teknologi. Kebiasaannya pakar
astronomi belum lagi dapat mendalami ilmu tafsir Al-Quran dengan baik manakala pakar hadith belum tentu pula
menjadi pakar dalam bidang perubatan pada masa yang sama. Tambahan pula dengan
sistem pendidikan yang bersifat sekular terus diamalkan di negara ini akan
terus menjadi cabaran untuk kita melahirkan insan yang pakar kedua-duanya.
Walaubagaimanapun, batasan
yang dialami oleh kedua-dua golongan ini tidak boleh dijadikan satu titik
permusuhan. Tidak boleh ada orang menyatakan agamawan adalah segala-galanya mahupun
ahli professional sahaja yang patut memimpin umat. Sebaliknya, perlu kita
wujudkan keharmonian dan simbiosis antara kedua-duanya kerana peranan mereka
yang saling-memerlukan.
PEMILIHAN
PEMIMPIN
Asas untuk menjadi
seorang pemimpin ada dua iaitu amanah dan kuat. Sekiranya seseorang itu tidak ada
kedua-duanya, maka dia tidak layak untuk menjadi pemimpin walaupun ilmu agama
atau ilmu duniawinya setinggi langit kerana takut akan memudaratkan. Sifat
amanah amat penting agar seseorang itu tidak akan menggunakan kuasanya sesuka
hati dan kesihatan fizikal hendaklah dalam keadaan baik agar masalah kesihatan
tidak menganggu kerja-kerja pentadbirannya.
Selain itu, seseorang
itu haruslah tahu tentang selok-belok pentadbiran dan mempunyai kredibiliti
sebagai seorang pemimpin agar dapat mempengaruhi dan menjadi inspirasi kepada
orang lain untuk bekerja kuat bagi menegakkan keadilan di muka bumi dan menjaga
kebajikan rakyat. Maka, sepatutnya tidak boleh timbul isu sama ada golongan
agamawan atau golongan professional yang patut memimpin umat.
HARAPAN
Oleh itu, menjadi
sebuah harapan untuk mengharmonikan antara kedua-dua golongan yang cukup
penting itu dan mengekalkan keharmonian tersebut. Golongan agamawan hendaklah
terus menyebarkan mesej Islam agar lebih ramai ahli professional dapat memahami
Islam dengan lebih baik dan menghasilkan sesuatu yang bermanfaat untuk umat.
Golongan professional juga berperanan dengan membina fasiliti untuk kemudahan
agamawan serta menyediakan servis-servis yang dapat dimanfaatkan oleh para
agamawan.
Selain itu, kita
hendaklah menggalakkan anak-anak muda supaya menjadi pakar dalam setiap bidang
yang mereka ceburi. Jika hendak menjadi seorang ahli ekonomi, jadilah seorang
yang pakar dalam bidang ekonomi. Jika mahu menjadi seorang doktor, hendaklah
menjadi seorang yang pakar dalam bidang perubatan. Kepakaran-kepakaran inilah
yang akan dapat dimanfaatkan untuk kesejahteraan dan kemajuan umat Islam
seperti batu-bata yang saling-memerlukan antara satu sama yang lain dan disusun
dengan baik agar dapat membina sebuah bangunan yang kukuh dan tersergam indah.
0 comments:
Post a Comment