Tuesday, 27 January 2015

Posted by Muhammad Adam bin Roslan |
Huffaz merupakan perkataan jama’ untuk hafiz dan hafizah yakni bermaksud sekumpulan hafiz dan hafizah. Gelaran hafiz dan hafizah tidak lagi asing di negara ini kerana saban tahun kita telah berjaya melahirkan ramai orang yang boleh menghafal Al-Quran melalui madrasah pendidikan tahfiz. Banyak institusi pendidikan tahfiz yang ditubuhkan di negara ini dan ada yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan, swasta mahupun individu tertentu sejajar dengan permintaan ibu bapa yang ingin menghantar anak-anak mereka ke sekolah tahfiz. Hal ini menunjukkan bahawa masyarakat kita semakin sedar akan kepentingan pendidikan berlandaskan Al-Quran untuk anak-anak mereka.

Tanggungjawab Huffaz

Perlulah disedari dan diinsafi bahawa memegang gelaran hafiz dan hafizah bukanlah suatu kemegahan kerana gelaran itu diiringi oleh tanggungjawab yang besar. Sudah pasti antara tanggungjawab yang perlu dipikul oleh penghafal Al-Quran ialah untuk mengekalkan hafalannya. Walaubagaimanapun, tanggungjawab huffaz sebenarnya jauh lebih besar daripada itu. Perkara yang lebih penting dan mustahak yang perlu dilaksanakan oleh para huffaz ialah mereka perlu memahami maksud dan intipati ayat-ayat Al-Quran dan mesej sebenar yang hendak disampaikan oleh Allah melalui kalam-Nya.

Menjadi suatu kebiasaan bahawa apabila seseorang mendapat gelaran hafiz dan diketahui oleh orang ramai, dia akan menjadi tempat rujukan untuk menerangkan ayat-ayat Al-Quran yang dihafalnya atau untuk membantu masyarakat dalam menyelesaikan masalah-masalah tertentu dengan menggunakan penyelesaian yang terkandung dalam Al-Quran. Ada juga yang dilantik menjadi imam untuk sesebuah masjid ataupun surau.

Namun, masyarakat hendaklah memastikan bahawa para huffaz yang mereka kenali itu benar-benar memahami intipati ayat-ayat Al-Quran yang sebenar kerana gelaran hafiz bukanlah tiket automatik untuk membenarkan mereka menafsirkan ayat-ayat Al-Quran bagi tujuan pendidikan atau penyelesaian terhadap permasalahan. Sebaliknya, masyarakat hendaklah memeriksa bagaimana hafiz atau hafizah berkenaan melalui sistem pendidikan di tempat belajarnya. Sistem pendidikan tahfiz perlulah menekankan tentang soal pemahaman ayat-ayat Al-Quran. Begitu bahaya sekiranya kita banyak mengangkat huffaz yang masih baru dan belum cukup teruji pemahamannya terhadap mesej yang hendak disampaikan oleh Allah.

Selain itu, para huffaz hendaklah turun ke lapangan dan bertemu masyarakat agar pemahaman mereka terhadap ayat-ayat Al-Quran dapat dikukuhkan dengan realiti semasa masyarakat setempat. Mereka perlu memahami keadaan yang dialami masyarakat sebelum menggunakan dalil Al-Quran untuk menyelesaikan masalah mereka. Jika tersalah guna, pasti akan mendatangkan salah faham dan fitnah terhadap Islam dan menimbulkan kemarahan umat Islam.

Cara fikir seorang penghafal Al-Quran perlulah meluas sebagaimana luasnya ajaran Islam melalui Al-Quran. Dengan memahami ayat-ayat Al-Quran dan didedahkan dengan keadaan semasa masyarakat dapat membantu para huffaz untuk berfikiran luas. Jika sebaliknya, barang kali boleh mendatangkan kebencian orang terhadap huffaz, Al-Quran dan Islam. Orang akan mula mempertikaikan kesempitan ajaran Islam. Penulis fikir hal ini juga menyebabkan adanya golongan liberal akibat daripada sempitnya pemikiran oleh sebahagian yang dikenali sebagai agamawan.
Bukan itu sahaja, akhlak yang perlu ditampilkan oleh seorang hafiz perlulah selari dengan ajaran Islam yang terkandung dalam Al-Quran. Tidak cukup dengan hanya berkopiah dan berjubah putih kerana itu hanyalah imej luaran. Namun akhlak yang ditunjukkan perlulah mencerminkan sifat keperibadian Muslim yang sebenar dan konsisten pada bila-bila masa dan di mana-mana tempat sekalipun.

Begitu besar sekali tanggungjawab seorang hafiz dan hafizah. Maka, para huffaz hendaklah berusaha untuk banyakkan bermuhasabah supaya mereka sedar akan tanggungjawab mereka dan memeriksa pemahaman mereka terhadap ayat-ayat Al-Quran yang dihafal oleh mereka. Masyarakat juga perlu sentiasa memberikan sokongan terhadap pendidikan tahfiz dan membantu dalam memperbaiki sistem pendidikan tahfiz yang sedia ada agar pada masa akan datang kita akan dapat melahirkan generasi yang menjadikan Al-Quran sebagai landasan bagi cara hidup dan cara fikir mereka.




Penulis boleh dihubungi melalui Facebook, Twitter dan Instagram. Nama akaun penulis: Muhammad Adam. 


0 comments: