Dewasa ini, kos sara hidup rakyat Malaysia semakin lama semakin meningkat dan golongan berpendapatan miskin dan sederhana merupakan penerima kesan terbesar akibat kenaikan kos sara hidup. Dengan peningkatan yang berterusan ini, semakin lama semakin penulis merasakan bahawa penurunan harga barangan keperluan menjadi mustahil untuk berlaku. Walaupun ramai rakyat sudah merayu dan merintih dan sebahagiannya menyatakan ketidakpuasan hati mereka, tetapi suara mereka seolah-olah tidak didengari.
Jiwa menjadi semakin hairan dan tidak keruan apabila melihat ada pula sebahagian yang masih menikmati kekayaan mereka dan ada pula pihak yang secara konsisten mengeluarkan senarai orang yang paling kaya di Malaysia tatkala ramai lagi yang papa kedana. Penulis bermonolog, "Apa yang tidak kena?".
Banyak faktor yang boleh dibincangkan berkaitan kos sara hidup kerana melibatkan dua pihak yang berbeza iaitu kerajaan dan ahli perniagaan (Malaysia mengamalkan sistem ekonomi campuran). Namun, pada kali ini, penulis mahu fokuskan penulisan ini terhadap golongan ahli-ahli perniagaan dan sistem pasaran bebas. Bertitik tolak dengan keadaan semasa, penulis mahu menghasilkan satu teori untuk menerangkan kesan dan solusi jika pasaran bebas dikuasai oleh peniaga-peniaga yang tamak.
Pernah juga penulis berbual dengan seorang rakan yang terlibat dalam aktiviti perniagaan. Penulis mengadu tentang harga yang ditetapkan bagi servisnya kerana mahal. Antara jawapannya ialah mengikut harga pasaran. Penulis hairan. Siapa sebenarnya yang menentukan harga pasaran?
Bukankah dalam sistem pasaran bebas, harga pasaran bermaksud harga yang sanggup dibayar oleh pengguna bersamaan dengan harga yang sanggup dijual oleh peniaga? Adakah harga yang ditetapkan bagi servis tersebut benar-benar boleh diterima oleh pengguna? Hal ini penulis kaitkan dengan keadaan ekonomi semasa. Banyak harga barangan keperluan yang ditetapkan hari ini dianggap tidak munasabah dan membebankan ramai pengguna. Maka, adakah harga yang ditetapkan oleh peniaga merupakan harga pasaran yang mengikut definisi sebenar atau harga yang yang hanya dipersetujui oleh golongan peniaga sahaja? Itulah persoalan pertama.
Selain jawapan harga pasaran, ada yang menjawab disebabkan kos pengeluaran produk atau servis. Ini juga jawapan yang biasa kita dengar tidak kira sama ada melalui mulut orang atau di saluran media massa. Kos merupakan sesuatu elemen yang sangat penting untuk menentukan harga agar harga yang ditetapkan dapat mendatangkan pulangan buat peniaga. Namun, adakah jawapan ini boleh diterima pada setiap masa?
Hal ini menjadi rumit apabila pengguna tidak mengetahui berapa banyak kos yang perlu ditanggung oleh para peniaga. Jika tidak tahu kos, bagaimana pula ingin tahu berapa pulangan yang mereka dapat melalui pengiraan perbezaan harga dan kos yang ditanggung oleh mereka? Selain itu juga, para peniaga mempunyai kebebasan untuk menetapkan harga barangan mereka tanpa campur tangan kerajaan. Campur kerajaaan yang terlalu banyak hanya akan merencatkan perjalanan ekonomi negara kita.
Memang tidak boleh dinafikan bahawa ada sebahagian ahli perniagaan mempunyai sikap tamak. Oleh itu, jika peniaga-peniaga yang tamak terlalu berkuasa, mereka akan menggunakan kesempatan yang ada untuk meningkatkan harga barangan dan servis mereka untuk mengaut keuntungan. Hal ini akan bertambah buruk jika jumlah golongan peniaga yang tamak ini sangat ramai kerana akan memberikan kesan terhadap kos sara hidup pengguna.
Sepatutnya sistem pasaran bebas dapat menimbulkan persaingan dalam kalangan ahli perniagaan yang mana mereka perlu cuba sedaya upaya untuk mengurangkan kos dan menetapkan harga yang terbaik dan sanggup dibeli oleh pengguna untuk kekal berada dalam pasaran. Jika ada yang menjual harga di atas pasaran, sepatutnya dialah yang akan kalah dalam persaingan melainkan ada faktor-faktor pembantu yang lain. Namun begitu, adakah realitinya akan menjadi begitu atau peniaga-peniaga tamak yang lain akan turut meningkatkan harga barangan mereka bagi mendapatkan pulangan yang lebih banyak lalu mengatakan, "Itulah harga pasaran." atau "Kos meningkat."?
Kuasa Pengguna Harus Diperkuatkan Lagi
Jelaslah bahawa untuk menstabilkan keadaan ini, kuasa pengguna perlu dioerkukuhkan lagi. Di Malaysia, kita ada beberapa persatuan pengguna seperti Persatuan Pengguna Pulau Pinang dan Federation of Malaysian Consumers Associations(FOMCA) yang mempunyai tanggungjawab untuk membela hak pengguna. Penetapan harga barangan yang tidak munasabah merupakan salah satu isu cabang hak kepenggunaan dan persatuan-persatuan pengguna hendaklah memperjuangkannya dengan duduk berbincang dengan golongan pembekal atau peniaga bagi mendapatkan harga yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak.
Walaubagaimanapun, kita tidak boleh terlalu bergantung pada persatuan-pesatuan pengguna yang ada. Usaha untuk memperkukuh kuasa kepenggunaan harus bermula dalam diri kita. Apa-apa yang menyebabkan hak kita sebagai pengguna tidak dijaga dengan baik, kita harus perjuangkan walaupun hal itu kita anggap kecil. Contohnya, soal kebersihan premis perniagaan dan keselamatan produk. Kita harus bersikap tegas dalam soal-soal sebegini dan kikiskan sedikit sikap 'Tak apa' kita. Bukanlah bermaksud kita perlu marah, tetapi teguran perlu disampaikan dengan hikmah.
Pendidikan Sebagai Solusi
Solusi. Inilah yang agak merunsingkan penulis. Kerajaan boleh campur tangan untuk menstabilkan semula harga barangan dan servis, namun harus kita ingat bahawa campur tangan kerajaan yang terlalu banyak dalam sistem ekonomi pasaran bebas bukanlah sesuatu yang baik. Adakah sistem pasaran bebas mampu selesaikan masalah kuasa kepenggunaan ini?
Antara jalan terbaik yang difikirkan setakat ini ialah melalui jalan pendidikan. Sistem pendidikan di negara kita perlu melahirkan insan yang bukan sahaja intelek, tetapi juga berakhlak mulia. Dalam hal ini, sikap tamak bukanlah satu sikap yang mulia di sisi agama Islam. Menetapkan harga yang melampau sehingga menyusahkan ramai orang kerana sikap tamak merupakan perbuatan yang tidak boleh diterima. Walaupun ada peniaga-peniaga yang bukan beragama Islam tetapi tamak bukanlah nilai yang baik. Kita tidak perlu terlalu mengejar kejayaan dunia kerana kekayaan harta tidak akan dapat dibawa selepas kita mati.
Moga-moga penulisan ini dapat meningkatkan kesedaran kita terhadap peri pentingnya kuasa kepenggunaan serta sikap tamak yang harus dijauhi.
Boleh hubungi penulis melalui emel: muhammadadamiium@gmail.com |
1 comments:
Setuju dengan bro, harga mustahil akan turun. Suatu masa dulu paras miskin RM600 sekarang RM3000. Budak sekolah dulu-dulu bawa duit poket RM0.10, kemudian naik RM0.30, kemudian RM0.50, kemudian RM1.00, kemudian RM2.00... dan seterusnya. Peningkatan sara hidup ini juga selari dgn peningkatan harga barang. Mana pernah turun.
Jika melihat trend peningkatan di atas, adakah ia disebabkan faktor peniaga tamak atau kerajaan tak kawal harga?
Jawapannya YA, tapi ia bukanlah faktor utama. Faktor utama ialah inflasi. Kerajaan melalui bank negara print wang kertas, semakin lama semakin banyak... Semakin banyak semakin kurang nilainya. Akibatnya barang menjadi semakin mahal dan mustahil boleh turun harga.
Kesimpulannya, punca masalah ialah SISTEM yg digunapakai sekarang.
Video oleh mike maloney dibawah mungkin dpt menjelaskan lebih lanjut:
https://youtu.be/jh0oSVXiPUI
Post a Comment